SEMATAN: Daerah Kecil Sematan berpotensi dinaik taraf menjadi daerah penuh pada masa hadapan, namun cadangan itu perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, antara kriteria utama yang perlu diberi perhatian ialah jumlah penduduk, selain syarat lain yang ditetapkan bagi membolehkan sesebuah daerah dinaik taraf.
“Perkara itu memang dalam perancangan, namun terpulang kepada wakil rakyat untuk membawa perkara berkenaan.
“Asasnya ialah jumlah penduduk. Jika berlaku pertambahan penduduk, beberapa kriteria tertentu perlu dipenuhi bagi membolehkan sesebuah kawasan dinaik taraf sebagai daerah penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan pelepasan peserta Larian Rimbun Sematan Antarabangsa 2026 di Pantai Abang Amin, di sini, hari ini.

Mengulas potensi pembangunan Sematan, Abang Johari berkata, pertumbuhan sektor pelancongan mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, selain meningkatkan mutu perkhidmatan menerusi tenaga kerja berkemahiran.
Beliau berkata, tenaga kerja di kawasan berkenaan terdiri daripada penduduk tempatan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Katanya, penawaran kursus dalam bidang hospitaliti oleh universiti turut membantu melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran, sekali gus meningkatkan standard perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pelancong antarabangsa.
“Jika standard kita meningkat, perkhidmatan juga akan bertambah baik, khususnya dalam memberikan khidmat kepada pelancong antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, Sematan juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi persinggahan bagi pelancong yang mendapatkan rawatan di hospital swasta di Sarawak.
Katanya, pesakit yang selesai menjalani rawatan boleh berehat di kawasan pesisir pantai seperti Sematan, sekali gus membuka peluang untuk mengembangkan sektor pelancongan kesihatan di negeri ini.
Beliau berkata, pendekatan itu mampu menghubungkan pembangunan sektor kesihatan dengan pelancongan, di samping merancakkan ekonomi tempatan melalui peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan hospitaliti dan kemudahan pelancongan.





