ARTIKEL

Pesta Song berpotensi jadi pemangkin pelancongan, ekonomi Kapit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAPIT: Pesta Song 2026 bukan sekadar mengetengahkan sukan air, malah berpotensi menjadi pemangkin pelancongan dan ekonomi tempatan menerusi usaha memartabatkan warisan budaya serta memperkukuh perpaduan masyarakat.

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penganjuran pesta itu menyediakan platform untuk memperkenalkan keunikan Song kepada masyarakat luar, selain mengekalkan tradisi tempatan.

“Acara seperti perlumbaan bot berkuasa tinggi dan perahu kayuh bukan sahaja menjadi tarikan pesta, malah menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang berteraskan warisan setempat,” katanya ketika merasmikan Pesta Song 2026 di Rumah Robert, Nanga Banjor, di sini, semalam.

Nanta tiba di majlis perasmian Pesta Song 2026 di Rumah Robert, Nanga Banjor,
Kapit, semalam. | FOTO: FB ALEXANDER NANTA LINGGI

Beliau menambah, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk ketua masyarakat dalam acara perahu kayuh mencerminkan semangat kerjasama dan kesepakatan yang perlu terus dipelihara.

Nanta turut berharap generasi muda memainkan peranan lebih besar dalam memartabatkan warisan tempatan dengan memanfaatkan kreativiti dan teknologi digital bagi memperluas pengenalan Song kepada masyarakat luar.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah Robert, jawatankuasa penganjur serta seluruh masyarakat Song atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan pesta berkenaan.

Terdahulu, Nanta turut menghadiri Majlis Mangkong Tiang dan perasmian Rumah Serani Eli, Nanga Ibau Tengah, Kapit, yang dibina semula selepas kebakaran pada Mei 2018.

Rumah panjang 39 pintu itu membolehkan penduduk kembali menetap di kediaman baharu pada 31 Ogos 2024 menerusi Projek Bantuan Ehsan Mangsa Kebakaran.

Nanta berkata, kejayaan penduduk membina semula kehidupan selepas kehilangan tempat berteduh membuktikan ketabahan dan semangat mereka dalam menghadapi kesukaran.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM540,000 bagi menambah baik kemudahan rumah panjang itu, merangkumi RM40,000 untuk stor dapur, RM300,000 bagi pemasangan jubin dan RM200,000 untuk pembinaan jeti.

Keperluan lain, termasuk penambahbaikan sistem perpaipan dan pusat sumber, turut diberi perhatian bagi meningkatkan keselesaan penduduk.

Beliau menghargai usaha penduduk menyiapkan kediaman masing-masing melalui inisiatif sendiri, selain bantuan kerajaan, dan berharap rumah panjang itu terus menjadi tempat selesa untuk keluarga membina kehidupan serta membesarkan anak-anak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU