KUCHING: Sepakan penalti terakhir Rykoz United Veteran yang melambung melepasi palang gol menghadiahkan kejuaraan kepada Canark selepas aksi final dramatik Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Ragas Pengait FC 2026 di Padang Bola Sepak Lada, Sibu, semalam.
Pertembungan sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 apabila tamat masa permainan, manakala kedudukan kekal seimbang 3-3 dalam penentuan sepakan penalti, yang diteruskan selepas lambungan syiling untuk menentukan giliran penyepak dan penjaga gol.
Pengerusi Ragas Pengait FC, Patrick Steven berkata, kejohanan anjuran bersama kelab itu dan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, berjaya mencapai matlamat memperkukuh hubungan persaudaraan serta menggalakkan penglibatan aktif pemain senior dan veteran dalam bola sepak.

“Penganjuran kejohanan ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemain daripada pelbagai latar belakang, di samping menggalakkan kerjasama antara pemain senior dan veteran dalam satu pasukan,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Menurut Patrick, keunikan pertandingan itu terletak pada format sembilan sebelah yang mewajibkan setiap pasukan menurunkan dua pemain berusia 36 hingga 39 tahun, tiga pemain berusia 40 hingga 44 tahun serta empat pemain berusia 45 tahun ke atas sepanjang perlawanan.
Beliau berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja mewujudkan persaingan seimbang antara pasukan, malah memberi peluang kepada pemain daripada generasi berbeza untuk berkongsi pengalaman dan mengekalkan kecergasan melalui aktiviti sukan.

jawatankuasa penganjur yang menjadi tulang belakang kejayaan.
“Kami berharap kejohanan seumpama ini dapat menarik lebih ramai penyertaan veteran bola sepak dari sekitar Sibu dan kawasan sekitarnya, sekali gus mengukuhkan hubungan persaudaraan melalui aktiviti sukan,” katanya.
Kemenangan tersebut membolehkan Canark, satu-satunya pasukan luar Sibu yang datang daripada Belaga, Bintulu, membawa pulang hadiah wang tunai RM999 berserta piala dan pingat, manakala Rykoz United Veteran menerima RM777 serta pingat selaku naib juara kejohanan yang menghimpunkan lapan pasukan.

Sebelum mara ke final, Canark, naib juara Kumpulan B, menyingkirkan juara Kumpulan A, Mix Veteran, 2-0 pada separuh akhir, manakala Rykoz United Veteran menewaskan Eagle FC 2-1 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1.
Mix Veteran kemudian menebus kekecewaan apabila mengatasi Eagle FC menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam penentuan tempat ketiga, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM555 berserta pingat.

Kecemerlangan Canark turut dilengkapkan dengan dua anugerah individu apabila Norpen Juman dinobatkan sebagai Pemain Terbaik, manakala John Sageng menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik. Abdul Salam Saihi daripada Mix Veteran pula memenangi anugerah Penjaring Terbanyak dengan empat gol.
Kejohanan yang bermula jam 8 pagi itu berlangsung selama lapan jam dengan setiap perlawanan diperuntukkan 20 minit, sebelum berakhir sekitar jam 4 petang dengan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Patrick, yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan dan pihak yang terlibat atas kejayaan penganjuran kejohanan itu.




