KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mencadangkan pendekatan untuk menjalankan pemeriksaan secara rawak terhadap bangunan-bangunan lama, khususnya di kawasan bandar ini.
Pengarahnya, Ir Dr. Cassidy Morris, berkata perkara tersebut penting dalam usaha memastikan bangunan lama yang masih digunakan berada dalam keadaan selamat.
Katanya, idea tersebut juga timbul selepas mengadakan perbincangan ringkas dengan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Institut Jurutera Malaysia (IEM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Struktur bangunan tidak akan bertahan lama sehingga 100 tahun jika tidak diselenggara dengan baik. Tanpa penjagaan rapi, risiko runtuh akan berlaku.
“Justeru, kami di JKR mencadangkan agar pemeriksaan rawak ke atas bangunan-bangunan lama di bandar ini dilaksanakan. Inisiatif ini bergantung kepada bidang kuasa Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung insiden bangunan runtuh di Jalan Padungan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggesa pemilik premis atau bangunan yang ingin menjalankan kerja penambahan struktur agar mengutamakan standard pembinaan.
“Kualiti kerja dan bahan yang digunakan sangat penting dan perlu dipandang serius.
“Itulah yang berlaku di beberapa tempat, bahkan di seluruh dunia—apabila standard atau kualiti diabaikan, bangunan boleh runtuh,” tegasnya.
Sementara itu, Wee mengingatkan pemilik bangunan untuk mengemukakan sebarang pelan penambahan struktur kepada majlis untuk mendapatkan kelulusan.
“Apa gunanya melakukan penambahan jika tidak dimaklumkan kepada kami? Anda mungkin fikir bangunan anda sangat bernilai, tetapi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, ia tidak bernilai lagi.
“Jika anda pemilik yang bijak, melindungi bangunan daripada risiko seperti kebakaran dan bahaya lain adalah penting. Jika berlaku kebakaran dan didapati ada penambahan haram, syarikat insurans tidak akan membayar pampasan. Ia akan menjadi sangat sukar untuk membuat tuntutan,” jelasnya.

Untuk rekod, jurucakap JBPM Sarawak menyatakan sebahagian dinding kedai berkenaan runtuh, dengan panggilan mengenai kejadian itu diterima pada 6.23 pagi semalam (6 April).
Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan tiba di lokasi dan mendapati dinding bangunan itu retak serta runtuh. Namun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian terbabit.


