KUCHING: Kamera Litar Tertutup (CCTV) berteknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang pertama kini dipasang di lokasi pusingan-P Lebuh Raya Pan Borneo di Selangau, Sibu.
Pengarah Kerja Raya Sarawak, Cassidy Morris, berkata pemasangan itu merupakan langkah strategik bagi mempertingkat keselamatan jalan raya, terutama di kawasan pusingan-P yang dikenal pasti mempunyai aliran trafik tinggi serta berisiko berlaku kemalangan.

“Pemasangan CCTV AI pertama di Pan Borneo Sarawak merupakan satu pendekatan proaktif dalam memperkukuh pemantauan trafik pintar, meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya khusus di lokasi pusingan-P serta menyokong pemantauan kebersihan persekitaran awam selaras dengan aspirasi pembangunan bandar pintar Sarawak,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran CCTV AI tersebut.
Beliau berkata pelaksanaan sistem CCTV AI itu dijangka membolehkan pemantauan trafik secara lebih berkesan, seterusnya menyokong usaha pencegahan kemalangan dan penambahbaikan pengurusan lalu lintas, terutama di kawasan pusingan-P Selangau, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna jalan raya di sekitar Bahagian Sibu.
“JKR Sarawak akan terus komited memperkasa infrastruktur keselamatan jalan raya melalui pendekatan inovatif dan berteknologi tinggi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.


