ARTIKEL

Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjawab soalan pengamal media. Foto Ghazali Bujang.

JKR Sarawak Pertingkatkan Kemudahan Kebersihan Di Jambatan Batang Lupar 1

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan mempertingkatkan kemudahan berkaitan kebersihan dan menjalankan pemantauan di Jambatan Batang Lupar 1.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, isu pembuangan sampah di jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia itu tidak akan menjadi isu jika orang ramai tidak membuang sampah secara sembarangan.

Notis yang dikeluarkan JKR Sarawak berhubung larangan aktiviti di Jambatan Batang Lupar 1. Kredit FB JKR Sarawak.

Jelasnya jambatan tersebut merupakan harta benda awam yang harus dijaga oleh semua pihak bagi memastikan kawasan kekal bersih dan menarik.

“Kita mahukan tempat itu bersih dan menarik kerana semasa Gawai, beberapa orang dari Singapura datang ke sini memberitahu saya mahu datang ke Jambatan Batang Lupar. Jadi ia merupakan suatu tarikan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, JKR akan melihat kepada pelbagai isu berbangkit yang perlu ditangani dan beliau akan menunggu laporan yang dikemukakan oleh JKR dalam masa dua minggu.

Terdahulu tular beberapa gambar di media sosial memaparkan terdapat individu yang menjalankan aktiviti perniagaan di atas jambatan tersebut.

Tindakan itu juga mengundang pelbagai reaksi warganet yang mendakwa aktiviti berkenaan akan mengakibatkan sampah dibuang secara sesuka hati selain mengundang risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu JKR Sarawak dalam hantaran Facebooknya menegaskan larangan sebarang aktiviti jual beli dan memancing di atas Jambatan Batang Lupar 1.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU