KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerima Glodon Nation Builder Award 2026 bagi kategori Public Sector Leadership in AI-Powered 5D BIM, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan komitmen jabatan dalam memperkasa transformasi digital sektor pembinaan.
Pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan JKR Sarawak menerapkan teknologi Building Information Modelling (BIM) dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan projek bagi meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian projek pembinaan.
Penggunaan BIM turut menjadi pendekatan strategik jabatan dalam memperkukuh proses perancangan, reka bentuk, penyelarasan dan pengurusan projek secara lebih bersepadu.
Teknologi 5D BIM pula mengintegrasikan maklumat model digital dengan aspek kos dan pengurusan projek, sekali gus membolehkan proses kerja dilaksanakan secara lebih telus, tersusun dan berasaskan data.
Seiring perkembangan teknologi, keupayaan berasaskan AI dalam ekosistem BIM berpotensi membantu meningkatkan kecekapan analisis maklumat, menyokong proses membuat keputusan serta memperkukuh penyelarasan dalam penyampaian projek pembinaan.
JKR Sarawak dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, pengiktirafan berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada jabatan untuk terus memperluas penerapan BIM dan teknologi digital dalam pengurusan projek.
Usaha itu selaras dengan aspirasi transformasi digital Kerajaan Sarawak serta perkembangan industri pembinaan ke arah pengurusan projek yang lebih pintar, cekap dan mampan.



