KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya agensi dari Malaysia yang disenaraikan sebagai finalis dalam Bentley Systems 2025 Going Digital Awards.
Ia merupakan anugerah berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan inovasi digital dalam bidang infrastruktur di peringkat global.
Menurut laporan UKAS, JKR Sarawak dicalonkan menerusi projek Projek Jalan Perhubungan Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa 2 di bawah kategori jalan raya dan lebuh raya.
“Ia hasil gabungan penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan digital twin, serta kerjasama erat antara kontraktor dengan perunding tempatan.
“Anugerah tahunan itu menerima hampir 250 pencalonan dari 47 negara di seluruh dunia.
Namun, hanya projek terbaik yang menunjukkan transformasi digital secara menyeluruh dipilih sebagai finalis,”jelas kenyataan itu.
Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris menyifatkan pencalonan itu sebagai bukti komitmen jabatan dalam menerajui pembangunan infrastruktur bertaraf dunia melalui pendekatan digital.
“Saya amat berbangga dengan usaha gigih seluruh pasukan JKR yang bukan sahaja mengangkat keupayaan negeri, malah membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.
Para finalis dijadual membentangkan projek masing-masing pada Persidangan “Year in Infrastructure” di Amsterdam, manakala pemenang akan diumumkan pada 16 Oktober 2025.


