BINTULU: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor digesa mempercepat kerja pembaikan jalan serta meningkatkan langkah keselamatan di tapak pembinaan jejambat yang menghubungkan Jalan Medan Jaya dan Jalan Tun Hussein Onn berhampiran Taman Kemena Raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menampal lubang serta menyelenggara permukaan jalan untuk mengelakkan risiko kemalangan dan gangguan aliran trafik khususnya di laluan sibuk tersebut.

Menurut beliau, masalah jalan berlubang dan takungan air yang kerap berlaku selepas hujan lebat memerlukan pemantauan berterusan tanpa perlu menunggu aduan daripada orang awam.
“Keadaan ini menjejaskan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya terutama pada waktu puncak,” katanya selepas meninjau kawasan berkenaan pada Khamis.
Beliau berkata, sebaik menerima aduan penduduk pihaknya segera menghubungi JKR dan kontraktor bertanggungjawab yang kemudiannya memberikan maklum balas positif dengan menjalankan kerja pembaikan pada hari yang sama.
“Kerjasama pantas semua pihak amat saya hargai kerana ia membolehkan masalah ini ditangani dalam tempoh singkat sekali gus memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Johnny Pang turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan berkaitan jalan raya kepada wakil rakyat atau pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Kerjasama antara wakil rakyat, agensi pelaksana dan masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin sepanjang musim hujan,” ujarnya.



