JOHOR BAHRU: Lebih 2.7 juta pengundi hari ini menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. Sebanyak 1,076 pusat mengundi dengan 4,889 saluran dibuka serentak pada 8 pagi bagi memilih wakil di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pusat mengundi ditutup secara berperingkat bermula 11 pagi hingga 6 petang mengikut lokasi sebelum pengiraan undi dijalankan. SPR menggerakkan 43,036 petugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

SPR menyasarkan kadar keluar mengundi sekitar 70 peratus, manakala keputusan penuh dijangka diketahui seawal 10 malam. Pada PRN Johor 2022, peratusan keluar mengundi ialah 54.92 peratus.
Majikan diingatkan memberi tempoh munasabah kepada pekerja untuk mengundi. Sementara itu, 20,607 pengundi awal terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah mengundi pada Selasa lepas.
PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding, dengan BN dan PH masing-masing meletakkan 56 calon, diikuti PN (33), Parti Bersama Malaysia (15), MUDA (empat), Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing satu calon serta enam calon Bebas menurut laporan Bernama.

