ARTIKEL

Jom Heboh di Kota Samarahan bukan sekadar hiburan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Karnival Jom Heboh bukan sekadar menjadi medan hiburan untuk seisi keluarga, malah berfungsi sebagai platform sehenti yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan, Jualan Rahmah serta peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk masing-masing kepada masyarakat.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran Jom Heboh di Kota Samarahan buat julung-julung kali membuktikan program itu bukan sekadar menawarkan persembahan artis dan aktiviti hiburan, sebaliknya memberi manfaat langsung kepada rakyat menerusi penyampaian maklumat, perkhidmatan kerajaan dan aktiviti ekonomi.

Katanya, hasil tinjauan yang dilakukan di tapak karnival mendapati pelbagai kementerian dan agensi kerajaan membuka ruang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat serta memahami peranan masing-masing secara lebih dekat.

“Program seperti Jom Heboh bukan sahaja memberi hiburan kepada rakyat, malah menjadi platform untuk masyarakat berinteraksi secara terus dengan kementerian dan agensi kerajaan serta mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan yang disediakan.

“Selain itu, terdapat Jualan Rahmah, jualan makanan, barangan cenderamata dan pelbagai produk lain yang memberi manfaat kepada pengunjung serta membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Jom Heboh di pekarangan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), hari ini.

MENARIK… Abdul Karim melawat reruai yang dibuka sepanjang Jom Heboh di Kota Samarahan. Foto MOHD ALIF NONI

Hadir sama Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang; Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali; Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi; Pengarah Projek Jom Heboh, Elleen Lim serta tetamu kehormat lain.

Menurut Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, penganjuran Jom Heboh di Kota Samarahan merupakan satu perkembangan positif kerana sebelum ini karnival berkenaan hanya diadakan di Bandar Raya Kuching apabila berlangsung di Sarawak.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu, sambutan pada hari pertama amat menggalakkan dengan kehadiran penduduk sekitar Kota Samarahan serta pengunjung dari kawasan berhampiran.

“Saya percaya pada hari kedua dan ketiga nanti, kehadiran pengunjung akan terus meningkat, terutama pada waktu malam apabila berlangsungnya konsert yang menampilkan artis tempatan Sarawak serta artis popular dari Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Kota Samarahan merupakan lokasi yang strategik untuk penganjuran program berskala besar kerana menempatkan dua universiti awam utama selain beberapa institusi pendidikan lain yang dihuni ribuan pelajar.

“Saya yakin kawasan ini akan terus menjadi tumpuan masyarakat sepanjang tiga hari penganjuran, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan dan meningkatkan lagi kemeriahan suasana di Kota Samarahan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Media Prima serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Jom Heboh.

“Saya berharap penganjuran Jom Heboh ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU