BANGKOK: Jaguh lontar peluru lelaki negara, Jonah Chang Rigan, berada dalam kelas tersendiri selepas menyambar pingat emas dan memecahkan rekod temasya pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Suphachalasai, di sini, malam ini.
Atlet kelahiran Sarawak itu mengesahkan kilauan emas selepas melakukan lontaran sejauh 18.78 meter dalam percubaan ketiga, sekali gus memadam rekod temasya 18.38 meter milik atlet Filipina, William III Edward Morrison, yang dicipta pada edisi 2019 di Filipina.

Pencapaian itu turut menyaksikan Jonah memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 18.46 meter yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang tahun lalu.
Pingat perak acara berkenaan diraih atlet tuan rumah, Silamool Thongchai, dengan lontaran sejauh 16.80 meter, manakala gangsa menjadi milik Morrison.
Kejayaan tersebut menyaksikan atlet berusia 22 tahun itu memperbaiki pencapaian tempat keempat pada penampilan sulungnya di Sukan SEA Kemboja dua tahun lalu.
Emas Jonah merupakan emas ketiga kem olahraga negara selepas Grace Wong Xiu Mei dan Nani Sahirah Maryata masing-masing menghadiahkan emas menerusi acara baling tukul besi wanita dan lontar peluru wanita.
Sementara itu, Ng Jing Xuan merangkul pingat perak dalam acara merejam lembing wanita selepas mencatat lontaran sejauh 52.17 meter, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan.
Pingat emas dimenangi atlet Thailand dengan lontaran sejauh 55.64 meter, manakala gangsa menjadi milik Espenilla Ana Bhianca dari Filipina dengan catatan 51.66 meter.
Catatan Jing Xuan memadam rekod kebangsaan 49.34 meter yang sebelum ini dipegang oleh Siti Nur Nadiah Othman. — BERNAMA


