BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu menasihatkan orang ramai agar sentiasa meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga susulan musim hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan banjir di beberapa kawasan penempatan penduduk.
Pengerusinya, YBhg Datu Nyurak Keti berkata, semua lapisan masyarakat khususnya ketua masyarakat perlu memainkan peranan penting dengan menyalurkan maklumat berkaitan situasi banjir menerusi saluran rasmi dan berautoriti, selain mengelakkan penyebaran maklumat tidak disahkan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan penduduk.
Menurut beliau, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya memandu dengan lebih berhati-hati terutama di kawasan rendah serta laluan yang terdedah kepada risiko banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Penduduk yang menggunakan perahu sebagai pengangkutan pula diminta tidak membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan serta sentiasa mematuhi aspek keselamatan ketika berada di air,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu, Pejabat Residen Bintulu pada Ahad.
Selain itu, Nyurak turut menggesa orang ramai agar mengurangkan pergerakan dan tidak keluar rumah ketika hujan lebat kecuali bagi urusan penting.
Sementara itu, penduduk yang terjejas akibat banjir diminta supaya segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa dan tidak bertangguh demi keselamatan diri serta keluarga.
Dalam perkembangan sama, nelayan diingatkan agar tidak turun ke laut semasa cuaca buruk atau hujan lebat, sebaliknya mendapatkan maklumat serta nasihat terkini daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.
Ketua Polis Daerah Bintulu Supt. Nixon Johsua Ali, Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis, Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bolhan, Pegawai Daerah Tatau Calvin Linggong Bujang@Endawie, Pegawai Daerah Sebauh Thadeus Ling Bartholomew Allu serta wakil jabatan berkaitan turut hadir.


