ARTIKEL

TINJAU OPERASI… Norizan Jili meninjau Operasi Bersepadu Dadah di Terminal Bas Bintulu, malam tadi.

JPJ hanya benarkan pemandu bebas dadah kendali kenderaan perdagangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Hanya pemandu yang bebas daripada penyalahgunaan dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan perdagangan menerusi Operasi Bersepadu Dadah yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak bersama beberapa agensi penguat kuasa.

Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata, operasi itu dijalankan serentak di seluruh negara sejak 1 Julai lalu.

Katanya, ia dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sarawak.

“Operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemandu kenderaan barangan, pemandu kenderaan perkhidmatan awam dan pemandu kenderaan pelancongan menerusi pemeriksaan serta ujian saringan dadah bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Operasi Bersepadu Dadah di Terminal Bas Bintulu, malam tadi.

TINJAU OPERASI… Norizan Jili meninjau Operasi Bersepadu Dadah di Terminal Bas Bintulu, malam tadi.

Norizan berkata, pemandu yang didapati positif dadah akan dikenakan tindakan oleh AADK mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi itu.

Pada masa sama katanya, JPJ akan mengambil tindakan tanpa kompromi dengan menahan Lesen Vokasional (PSV/GDL) bagi tujuan siasatan sebelum menggantung lesen memandu mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Aspek keselamatan jalan raya tidak boleh dikompromi.

“Pelaksanaan Operasi Bersepadu Dadah membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus sektor pengangkutan negara dengan memastikan hanya pemandu yang berintegriti, berdisiplin dan bebas daripada penyalahgunaan dadah dibenarkan mengendalikan kenderaan perdagangan,” katanya.

Beliau menambah, JPJ Sarawak akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang, mempertingkatkan keselamatan jalan raya serta melindungi nyawa semua pengguna jalan raya.

PEMERIKSAAN…Norizan Jili menyaksikan pemeriksaan dan saringan dadah terhadap pemandu kenderaan perdagangan di Terminal Bas Bintulu, malam tadi.
PEMERIKSAAN…Norizan Jili menyaksikan pemeriksaan dan saringan dadah terhadap pemandu kenderaan perdagangan di Terminal Bas Bintulu, malam tadi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU