KUCHING: Sebuah kenderaan mewah jenis Mercedes disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuching dalam satu operasi penguatkuasaan dikenali sebagai Ops Luxury yang dijalankan di sekitar bandar raya Kuching, semalam.

Menurut hantaran Facebook JPJ, kenderaan berkenaan dikesan ketika rondaan dan pemantauan rutin oleh Unit Operasi JPJ Kuching yang dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dipandu di atas jalan raya tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah.
“Siasatan lanjut mendapati LKM kenderaan berkenaan tamat tempoh sejak 2024,” kata hantaran itu.
Selain itu, kenderaan terbabit juga didapati tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah seperti yang diwajibkan di bawah undang-undang.
Susulan pelanggaran tersebut JPJ memaklumkan, tindakan sitaan diambil ke atas kenderaan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira jenis, jenama atau kategori kenderaan.
“Tindakan tegas itu bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin serta meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan pemilik kenderaan,” jelas hantaran berkenaan.


