KUCHING: Sebanyak 373 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Ops Bersepadu Agensi Bil. 3/2025 yang dijalankan serentak di Jalan Samarahan–Kuching dan Jalan Kuching–Samarahan pada Khamis.
Menurut JPJ Sarawak, operasi yang turut digabungkan dengan Ops Kenderaan Mewah itu memberi tumpuan kepada pematuhan undang-undang termasuk cukai jalan dan perlindungan insurans sah, khususnya membabitkan kenderaan mewah.
“JPJ turut menyita 27 kenderaan iaitu 23 motosikal, sebuah lori perdagangan serta tiga kenderaan pelbagai guna, termasuk dua kereta mewah, atas kesalahan serius seperti cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Operasi itu membabitkan 70 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Sarawak, JSPT Kota Samarahan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
PDRM menerusi JSPT turut mengeluarkan 145 notis kesalahan, manakala AADK melaksanakan 22 saringan air kencing dengan lapan individu didapati positif dadah, masing-masing tujuh positif methamphetamine dan seorang positif ganja.
SPRM pula melaporkan tiada kes rasuah atau salah laku dikesan.
Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Nor Azlan Ibrahim, bersama Ketua Seksyen Operasi JPJ Sarawak, Saifullah Ali, turut menyertai operasi berkenaan untuk memberikan sokongan moral kepada pegawai dan anggota bertugas.
JPJ Sarawak menegaskan operasi seumpama ini akan diteruskan sebagai usaha bersepadu memastikan keselamatan jalan raya dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
— TVS


