KUCHING: Dua kenderaan mewah masing-masing Toyota Alphard dan Mercedes GLC 200 disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak dalam Ops Luxury di sekitar bandar raya ini semalam selepas didapati melakukan kesalahan serius berkaitan dokumen kenderaan yang telah tamat tempoh.
Berdasarkan hantaran Facebook JPJ Sarawak, operasi berkenaan dilaksanakan Unit Operasi JPJ Kuching melalui rondaan serta pemeriksaan statik di Jalan Sherip Masahor yang turut memberi tumpuan kepada kenderaan mewah dalam usaha memastikan tiada pengguna jalan raya mengambil ringan pematuhan undang-undang.

‘’Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan terbabit tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang sah, sekali gus menyebabkan tindakan sitaan terus diambil mengikut peruntukan undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa,’’ kata hantaran itu.
Menurut JPJ Sarawak, kesalahan melibatkan kenderaan mewah tidak boleh dipandang ringan kerana setiap pengguna jalan raya, tanpa mengira jenis atau nilai kenderaan, tertakluk kepada kewajipan asas yang sama iaitu memastikan cukai jalan dan insurans sentiasa aktif sebelum berada di jalan raya.
Tindakan penguatkuasaan ini jelas JPJ, bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai peringatan berterusan kepada pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab dan sentiasa peka terhadap status dokumen kenderaan masing-masing.
Dalam masa yang sama, JPJ Sarawak turut menekankan kegagalan memperbaharui LKM dan insurans bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mendedahkan pemilik kepada risiko besar sekiranya berlaku kemalangan, termasuk tidak mendapat perlindungan sah daripada pihak insurans.
‘’Ops Luxury juga merupakan antara pendekatan berterusan JPJ dalam memperkukuh tahap pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya terhadap kenderaan berprofil tinggi yang sering dianggap berisiko rendah untuk diperiksa,’’ kata hantaran itu.
JPJ Sarawak menegaskan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi berbeza bagi memastikan semua pengguna jalan raya, tanpa pengecualian, mematuhi peraturan yang ditetapkan demi keselamatan bersama.


