ARTIKEL

Pengarah JPN Sarawak, Omar Mahli menyantuni warga sekolah dalam lawatannya ke SK Nanga Selangau. Foto Facebook JPN Sarawak

JPN Sarawak Teliti Langkah Mitigasi Banjir SK Nanga Selangau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SELANGAU: Kejadian banjir berulang yang menjejaskan operasi SK Nanga Selangau mendapat perhatian serius Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang memberi keutamaan cadangan penambahbaikan infrastruktur serta langkah mitigasi bencana bagi memastikan keselamatan murid dan kelancaran sesi pembelajaran.

Pengarahnya, Omar Mahli berkata, perkara itu dikenal pasti ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke sekolah berkenaan bagi meninjau sendiri keadaan semasa serta kesan banjir yang kerap berlaku terutama pada musim tengkujuh.

Katanya, kedudukan sekolah yang berhampiran tebing Sungai Selangau menyebabkan kawasan tersebut mudah dinaiki air. Antara paling terjejas adalah semasa banjir besar pada 2025 serta awal tahun ini.

“Kejadian berulang itu bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, malah turut menyebabkan kerosakan kemudahan fizikal sekolah selain mengancam keselamatan murid, guru dan kakitangan,” katanya ketika lawatan tersebut, hari ini.

Dalam lawatan berkenaan, beliau turut menerima taklimat berkaitan tahap risiko banjir yang dihadapi sekolah, impak kehadiran dan pembelajaran murid serta keperluan mendesak untuk melaksanakan tindakan segera.

“Beberapa perkara akan diteliti termasuk usaha menaik taraf kemudahan sekolah, pelaksanaan langkah mitigasi banjir, kerja penyelenggaraan infrastruktur rosak serta aspek keselamatan warga sekolah secara menyeluruh.

“Keutamaan kita ialah memastikan kebajikan murid dan guru sentiasa terpelihara supaya proses pembelajaran dapat diteruskan dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif walaupun berhadapan situasi bencana,” katanya.

Lawatan tersebut turut membuka ruang kepada pihak pengurusan sekolah untuk mengemukakan pelbagai isu serta keperluan semasa secara terus kepada jabatan berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan diselaraskan dengan lebih berkesan demi memperkukuh kesiapsiagaan sekolah menghadapi risiko bencana pada masa hadapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU