BINTULU: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) mencatat prestasi cemerlang apabila merekodkan kutipan hasil berjumlah RM671.4 juta sepanjang tahun 2025, meningkat berbanding RM600.62 juta pada 2024, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada hasil negeri.
Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datuk Awang Zamhari Awang Mahmood berkata peningkatan tersebut diperoleh meskipun Kerajaan Sarawak telah memansuhkan cukai tanah bagi kegunaan kediaman serta tanah pertanian kurang daripada 100 ekar.
“Ini membuktikan bahawa hasil berasaskan tanah kekal mampan dan berdaya saing hasil pengurusan yang cekap, sistem pentadbiran yang mantap serta kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Tanah dan Survei (LANDAS Summit) 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel Imperial, di sini, Isnin.
Menurutnya, sehingga 31 Disember 2025, Sistem Pendaftaran Hakmilik Tanah (Title Registration System – TRS) merekodkan sebanyak 980,827 lot tanah telah didaftarkan di seluruh Sarawak melibatkan keluasan 3.16 juta hektar.
Daripada jumlah tersebut, katanya, 779,303 lot merupakan tanah berhakmilik dengan keluasan 2.45 juta hektar, manakala 201,524 lot lagi adalah tanah kerajaan meliputi keluasan 716,990 hektar.
“Bagi tanah berhakmilik, kegunaan pertanian dan perladangan komersial mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 367,003 lot dengan keluasan 2.35 juta hektar, diikuti tanah kediaman melibatkan 346,140 lot,” jelasnya.
Dari segi pendaftaran mengikut bahagian, Bahagian Kuching mencatatkan bilangan lot tertinggi didaftarkan iaitu sebanyak 222,272 lot, manakala Bahagian Miri merekodkan keluasan tanah terbesar dengan 682,897.69 hektar.
Dalam perkembangan berkaitan, Awang Zamhari berkata pendaftaran transaksi tanah pada 2025 terus mengekalkan kecemerlangan apabila mencatat 100 peratus pendaftaran pada hari yang sama melibatkan 89,933 suratcara.
“Sebanyak 90.8 peratus suratcara berjaya didaftarkan dalam tempoh empat jam pertama selepas dikemukakan, hasil komitmen tinggi petugas barisan hadapan di semua pejabat bahagian,” katanya.
Beliau berkata nilai keseluruhan transaksi tanah sepanjang tahun lalu mencecah RM30.85 bilion, dengan transaksi cagaran tanah merekodkan nilai tertinggi sebanyak RM15.46 bilion, diikuti pindah milik tanah bernilai RM7.96 bilion.
Daripada transaksi tersebut, Kerajaan Persekutuan telah mengutip RM262.28 juta duti setem. Justeru, Kerajaan Sarawak terus mengadakan rundingan melalui platform Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi menuntut perkongsian hasil duti setem berkenaan.
Menyentuh Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Awang Zamhari berkata sehingga akhir 2025, seluas 1.245 juta hektar tanah NCR telah diukur secara perimeter, dengan 947,442 hektar daripadanya diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
“Usaha mempercepatkan pengukuran lot individu terus diperkasakan melalui penambahbaikan teknologi dan kaedah pengukuran,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak kini giat memperkukuh transformasi digital melalui pengoperasian sistem eLASIS, yang merekodkan 467,621 transaksi dalam talian dengan kutipan hasil sebanyak RM17.55 juta sepanjang 2025.
Selain itu, jabatan berkenaan turut mencatat kejayaan dalam bidang pensijilan dan inovasi apabila memperoleh pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah, serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kejayaan ini adalah hasil disiplin, komitmen serta semangat kebersamaan seluruh warga Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dalam melaksanakan amanah kepada rakyat dan kerajaan negeri,” katanya.


