KUCHING: Bintang Real Madrid, Jude Bellingham mendapat pujian ramai selepas mempertahankan seorang wartawan wanita yang diganggu ketika mengemukakan soalan dalam sesi temu bual selepas kemenangan 5-1 ke atas PSV Eindhoven dalam Liga Juara-Juara UEFA, semalam.
Insiden itu berlaku di zon campuran Stadium Santiago Bernabeu ketika wartawan BBC, Elizabeth Conway cuba mengemukakan soalan kedua kepada Bellingham, namun dipintas seorang wartawan lelaki yang mahu mendapatkan respons pemain England berkenaan.

“Maaf, dia masih ada satu lagi soalan,” kata Bellingham sambil menunjuk ke arah Conway dan memberikan ruang kepadanya untuk meneruskan pertanyaan.
Conway kemudian bertanya sama ada pemain berusia 23 tahun itu merasakan dirinya sedang berada pada prestasi terbaik sepanjang karier bersama-sama kelab dan pasukan kebangsaan England.

“Tumpuan saya kepada perlawanan seterusnya kerana bagi saya, kemampuan seseorang pemain dinilai berdasarkan prestasi dalam perlawanan berikutnya.
“Apa-apa yang berlaku dalam perlawanan lalu tidak begitu penting. Walaupun seronok berbual dengan wartawan, tumpuan saya sekarang perlu beralih kepada persiapan menghadapi perlawanan seterusnya,” jawab Bellingham.

