Jumlah syarikat baharu atasi perniagaan ditutup

KUALA LUMPUR: Jumlah syarikat baharu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mengatasi bilangan ditutup pada tahun lalu walaupun berdepan pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sebanyak 437,769 syarikat baharu didaftarkan, termasuk 131,139 syarikat dalam talian, berbanding 78,420 yang ditutup.

Beliau berkata, ia sekali gus menunjukkan kemampuan usahawan untuk bergerak seiring trend dan norma baharu, selain menggunakan teknologi.

“Ini menunjukkan jika seseorang itu dinamik, dapat menyesuaikan dengan perubahan dan menggunakan teknologi, mereka akan berjaya.

“Untuk menjadi usahawan berjaya, mereka perlu membuat keputusan segera, dapat mengubah pelan apabila ia tidak lagi sesuai dan bersedia merebut peluang baharu.

“Mereka yang mengguna pakai teknologi akan berkembang, manakala mereka yang sebaliknya akan menghadapi kesukaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perniagaan PKS dan Keusahawanan (SEBA) 2020, malam tadi.

Sebanyak 55 anugerah berprestij disampaikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan pada Majlis Makan Malam Gala Penyampaian Anugerah, di sini.

Wan Junaidi berkata, kementerian akan memberi penyelesaian menyeluruh kepada usahawan, daripada kategori tidak formal dan mikro hinggalah mereka yang berada dalam kategori berteknologi tinggi serta bermodal tinggi.

Beliau berkata, kementerian dan agensinya akan membantu mewujudkan ekosistem kondusif untuk keusahawanan di Malaysia supaya berkembang maju.

“Tanpa mengambil kira kategori anda berada, apabila anda berjumpa kami, kami akan membimbing, memantau kemajuan dan memastikan anda mencapai kejayaan,” katanya.

Malah, beliau menegaskan, matlamat kementerian untuk melahirkan 100 jutawan setahun daripada kumpulan usahawan tempatan, bukan hanya ‘cakap kosong’.

“Kami ada pelan untuk mencapainya,” katanya.

Pada majlis itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed, dianugerahkan Usahawan Terbaik.

Pengasas Bersama dan CEO Kumpulan Carsome, Eric Cheng, serta Pengasas Bersama Carsome dan Pengarah Carsome Academy, Teoh Jiun Ee pula dianugerahkan secara bersama Usahawan Tekno Terbaik.

Suara Sarawak