ARTIKEL

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar.

Juruteknik rugi lebih RM900,000, terpedaya pelaburan dalam talian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik syarikat cari gali mengalami kerugian RM908,305 selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian pada Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata lelaki berusia 48 tahun itu telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu yang menawarkan pelaburan dengan keuntungan tinggi dalam tempoh satu jam, ketika dia berada di tempat kerja di Iraq.
 
Beliau berkata mangsa tertarik dengan keuntungan dijanjikan dan telah memuat turun aplikasi sebelum membuat pendaftaran di aplikasi tersebut. 

“Mangsa juga mengikuti kelas secara dalam talian menerusi pautan diberikan yang menjelaskan berkaitan cara-cara urus niaga dan keuntungan yang akan diperoleh. 

“Seterusnya, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza seperti diarahkan hingga berjumlah RM908,305 ketika dia berada di Kota Tinggi dekat sini, pada pertengahan September lepas hingga bulan ini,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kumar berkata selepas bayaran dibuat, mangsa mendapati pelaburannya telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM8 juta dan berhasrat untuk mengeluarkan wang keuntungan berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa telah diarahkan untuk melakukan pembayaran sebanyak RM100,000 sebagai wang deposit namun dia enggan, dan percaya dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam dengan kerugian dialami berjumlah RM908,305,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Kumar menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang menawarkan pulangan tinggi dalam masa singkat. – BERNAMA 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU