Jurutera jadi pengacara

KUCHING: Sentiasa rajin berusaha dan meningkatkan ilmu pengetahuan merupakan kunci utama untuk berkecimpung dalam dunia penyiaran.

Pengacara bagi Program Sejahtera Asia, Ghazali Zawawi, 28, berkata, dia mula menyertai industri penyiaran sejak lima tahun yang lalu.

“Walaupun pendidikan saya berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan, ia tidak menjadi alasan kepada saya untuk menceburi bidang penyiaran yang merupakan impian saya sejak kecil.

“Dengan peluang yang dimiliki dalam bidang ini lebih-lebih lagi di TVS, saya akan sentiasa meningkatkan ilmu.

“Saya akan sentiasa rajin berusaha dan belajar agar apa yang disampaikan kepada penonton dapat diterima dengan baik,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Pejabat Sarawak Media Group (SMG) di sini, semalam.

Bagi Ghazali untuk menjadi pengacara sesebuah program yang berkualiti, ia memerlukan masa membuat latihan dan sebagainya memandangkan persediaan untuk pelancaran TVS tiga bulan sahaja.

“Hal ini kerana, kita tahu bahawa semua orang boleh menyampaikan maklumat walaupun dengan membaca sahaja namun tidak bagi saya kerana jika kita ingin menyampaikan sesuatu maklumat, kita perlu mengetahui isi keseluruhan yang ingin disampaikan.

“Justeru, dengan isi keseluruhan yang ingin disampaikan kepada masyarakat luar, kita akan dapat mengupas fakta yang tepat.

Malah dapat berkongsi ilmu dengan penonton program ini,” jelasnya.

Jelas Ghazali, kepada golongan muda yang mempunyai bakat dan ingin menyerlahkan bakat mereka dalam dunia penyiaran, mereka tidak perlu teragak-agak merebut peluang.

“Saya melihat TVS merupakan stesen televisyen yang m e n getengahkan bakat rakyat Sarawak dalam dunia penyiaran.

“Oleh itu, rakyat di negeri ini perlu mengambil peluang ini dengan sebaiknya.

“Namun, apabila kita sudah berada dalam dunia penyiaran, ia tidak bererti kita sudah lulus kerana banyak perkara yang perlu kita belajar.

Banyak ilmu yang perlu kita timba agar mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat luar dapat disampaikan dengan baik,” katanya.

Berkongsi tentang rahsia menjaga penampilan, bagi Ghazali apa yang penting ialah seseorang personaliti televisyen perlu sentiasa berketerampilan kemas.

“Menjaga penampilan bukan sahaja untuk dipamerkan di kaca televisyen tetapi di dunia luar juga kita perlu sentiasa berketerampilan baik agar masyarakat luar senang dengan personaliti kita,” katanya.

Selain menjadi pengacara Rancangan Sejahtera Asia, Ghazali turut tampil sebagai pengacara dalam rancangan Borak Teh C Peng.

Suara Sarawak