KUCHING: Pasukan klinik bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan bot kini digerakkan ke kawasan luar bandar yang boleh diakses bagi memastikan perkhidmatan kesihatan diteruskan sepanjang tempoh penggantungan sementara Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming berkata, kaedah alternatif itu dilaksanakan bagi memastikan masyarakat pedalaman terus menerima rawatan kesihatan yang diperlukan.
“Antara kaedah alternatif yang dilaksanakan ialah menggerakkan pasukan klinik bergerak melalui jalan darat menggunakan kenderaan pacuan empat roda serta pengangkutan sungai menggunakan bot ke kawasan yang boleh diakses,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan ADUN Krian, Datuk Friday Belik berkaitan kaedah alternatif penyampaian perkhidmatan kesihatan ke kawasan luar bandar sepanjang penggantungan PDU pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut menganjurkan Jelajah Libat Urus Petugas, Taklimat Keselamatan dan Pengenalan Pesawat MEDEVAC Sarawak 2026.
Program itu bertujuan meningkatkan pemahaman, kesiapsiagaan serta keyakinan petugas perubatan yang terlibat dalam pengaktifan operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) dan pengiring pesakit.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan operasi pemindahan yang menyelamatkan nyawa dapat dilaksanakan dengan selamat dan cekap,” katanya.
PDU merupakan perkhidmatan penting yang menyediakan rawatan kesihatan primer, penjagaan ibu dan anak serta pemindahan perubatan kecemasan kepada masyarakat terpencil yang tidak dapat diakses melalui jalan darat.
Antara perkhidmatan yang lazim diberikan ialah rawatan pesakit luar, imunisasi, penjagaan antenatal dan selepas bersalin, pemantauan pemakanan kanak-kanak serta pembekalan ubat-ubatan penting.
Operasi dilaksanakan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama penyedia perkhidmatan penerbangan yang dikontrak untuk menyediakan dan mengendalikan helikopter.


