BINTULU: Tiga lokasi di Sarawak dikenal pasti sebagai tapak pendaratan kabel dasar laut telekomunikasi SALAM yang akan menghubungkan negeri ini dengan Semenanjung Malaysia dan Sabah, sekali gus meningkatkan kapasiti serta daya tahan infrastruktur kesalinghubungan digital negara.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata lokasi berkenaan ialah Buntal, Matu di Mukah dan Bintulu, dengan pelaksanaan projek itu dijangka membantu menangani kesesakan kapasiti pada kabel telekomunikasi sedia ada.
Beliau berkata kewujudan kabel dasar laut kedua itu amat penting bagi memastikan kapasiti telekomunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah dapat ditingkatkan seiring pertumbuhan penggunaan internet serta perkembangan ekonomi digital.
“Kesalinghubungan ataupun kabel telekomunikasi dasar laut antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah sekarang begitu sesak dan congested. Oleh itu, kita telah menghubungi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya kabel telekomunikasi kedua dapat dilaksanakan segera.
“Alhamdulillah, saya difahamkan kabel dasar laut telekomunikasi SALAM sudah ditender dan ia akan dapat menghubungkan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dan juga Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Connecting Jepak di sebuah hotel di sini, hari ini.
Julaihi berkata pengukuhan rangkaian domestik itu turut menjadi asas kepada usaha Sarawak memperluas kesalinghubungan digital ke peringkat antarabangsa bagi memastikan Sarawak mempunyai hubungan telekomunikasi yang lebih kukuh dengan pusat ekonomi dan teknologi serantau.
Pada masa sama, katanya, Sarawak sedang berusaha mewujudkan sambungan kabel dasar laut yang menghubungkan negeri itu dengan beberapa negara dan hab telekomunikasi serantau termasuk Filipina, Hong Kong, China dan Thailand.
“Maknanya Sarawak akan lebih connected pada masa akan datang. Ini sasaran kita kerana kita tahu kesalinghubungan (connectivity) begitu penting, bukan sahaja dalam Sarawak tetapi juga dengan dunia luar.
“Kedua, kelajuan mesti mempunyai kapasiti yang mencukupi seperti yang kita perlukan,” ujarnya.
Menurut Julaihi lagi, usaha memperkukuh infrastruktur kabel dasar laut itu adalah sebahagian daripada langkah berterusan Kerajaan Sarawak memperkasakan agenda transformasi digital negeri, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata kesalinghubungan digital yang kukuh bukan sekadar memenuhi keperluan komunikasi penduduk di kawasan bandar, malah penting untuk memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati akses kepada peluang ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan digital.
Justeru, tegasnya, peningkatan kapasiti serta rangkaian telekomunikasi yang lebih berdaya tahan juga akan membantu Sarawak bersedia menghadapi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan digital pada masa hadapan.



