DARO: Pemasangan kabel gentian optik baharu sepanjang 40 kilometer di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah gangguan komunikasi di Daerah Daro.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, usaha itu merupakan antara langkah jangka panjang untuk meningkatkan mutu perkhidmatan komunikasi di daerah berkenaan.
Pada masa sama katanya, SACOFA akan melaksanakan kerja pembaikan kabel sedia ada dengan sasaran menyiapkannya dalam tempoh sebulan.
“Ini merupakan perkara penting dibincangkan saya dalam pertemuan bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Sri Julaihi Narawi, baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas gangguan komunikasi yang melanda Daro sejak Isnin, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh syarikat telekomunikasi (Telco) bahawa kejadian itu dipercayai berpunca daripada kerosakan kabel susulan sebuah lori merempuh tiang elektrik milik Sarawak Energy (SESCO).
Katanya, kerja pemulihan hanya dapat diselesaikan pada awal pagi selepas lori terbabit dialihkan dan SESCO memberikan kebenaran kepada pihak Telco untuk meneruskan kerja pembaikan.
“Saya berharap semua urusan berkaitan pelaksanaan kerja pembaikan dan pemasangan kabel baharu dapat berjalan lancar bagi memastikan perkhidmatan komunikasi di Daro kembali pulih dan terus dipertingkatkan,” katanya.
Gangguan berkenaan turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang berharap masalah komunikasi di daerah itu dapat diselesaikan sepenuhnya dalam masa terdekat.




