KUCHING: Rakyat Sarawak perlu terus mempertahankan perpaduan dan kestabilan politik negeri dalam tempoh kritikal menuju 2030 bagi memastikan agenda pembangunan serta kemakmuran ekonomi dapat diteruskan tanpa terjejas oleh budaya politik yang memecahbelahkan masyarakat.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ketidaktentuan geopolitik, konflik antarabangsa dan peningkatan polarisasi politik menuntut rakyat Sarawak bersatu serta memainkan peranan aktif dalam menentukan masa depan negeri.
Menurutnya, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi perpaduan masyarakat dan kestabilan politik yang membolehkan kerajaan melaksanakan perancangan pembangunan jangka panjang di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ketika Sarawak sedang melalui kemajuan yang belum pernah berlaku dan menuju 2030, rakyat perlu terus bersatu dan berdiri teguh dalam tempoh beberapa tahun yang amat penting ini.
“Kita perlu memastikan Sarawak terus menjadi negeri yang kukuh, makmur, inklusif dan mampan dari segi alam sekitar,” katanya dalam penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketidaktentuan dunia akibat konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada kos sara hidup, termasuk kenaikan harga makanan, manakala suasana politik di beberapa negara semakin dicorakkan oleh perpecahan dan permusuhan.
“Bagaimanapun, Sarawak terus menunjukkan kekuatan kewangan apabila Belanjawan Sarawak 2027 mengunjurkan hasil RM15.091 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri, dengan kedudukan belanjawan lebihan serta pelbagai program pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” tegasnya.
Beliau turut mengkritik pendekatan politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang disifatkannya terlalu menumpukan pertikaian dan polemik politik berbanding penyelesaian isu rakyat.
“Sarawak perlu mengelakkan budaya politik yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan mengekalkan pendekatan pembangunan yang berpaksikan kerjasama serta kepentingan negeri.
“Dalam tempoh menuju 2030, bukan hanya Premier perlu menunjukkan prestasi baik, tetapi semua agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat Sarawak juga mesti memainkan peranan masing-masing.
“Jangan sekadar melihat. Setiap orang mampu membawa perubahan dalam usaha membina Sarawak yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau menegaskan, usaha membangunkan Sarawak tidak seharusnya terbatas kepada rakyat yang menetap di negeri ini, malah perlu turut melibatkan anak jati yang menetap di Semenanjung Malaysia mahupun luar negara.
“Marilah kita bersama-sama menjaga Sarawak, mempertahankan nilai dan semangat perpaduan yang menjadi kekuatan negeri ini.
“Utamakan Sarawak. Kita mesti menjaga Sarawak dengan sebaik-baiknya demi masa depan seluruh rakyat,” katanya.



