ARTIKEL

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

11 kematian rabies di Sarawak berpunca gigitan kucing

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 11 daripada 89 kematian akibat rabies di Sarawak sejak 2017 berpunca daripada gigitan kucing, sekali gus membuktikan ancaman penyakit itu bukan datang daripada anjing sahaja.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata kucing yang dijangkiti virus rabies juga boleh menyebarkan penyakit berkenaan kepada manusia melalui gigitan dan cakaran.

Menurutnya, orang ramai perlu berwaspada terhadap risiko jangkitan daripada kucing, sama ada peliharaan mahupun terbiar.

“Rabies bukan penyakit yang hanya boleh dijangkiti melalui anjing. Kucing yang dijangkiti virus rabies juga boleh menyebarkan penyakit ini kepada manusia melalui gigitan dan cakaran.

“Semua kes gigitan dan cakaran haiwan perlu dipandang serius, manakala rawatan perubatan segera amat penting bagi mencegah penyakit yang boleh membawa maut tetapi boleh dicegah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dr Sim berkata Sarawak merekodkan 96 kes rabies dalam kalangan manusia sejak wabak itu diisytiharkan pada 2017, termasuk 89 kematian.

Sehingga 26 September lalu, katanya, sebanyak enam kes rabies manusia dilaporkan pada tahun ini, berbanding tujuh kes sepanjang 2025.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 16,976 laporan gigitan haiwan direkodkan, meningkat 17.1 peratus berbanding 14,499 kes pada tahun lalu,” jelasnya.

Mengulas langkah pencegahan, beliau berkata kementeriannya bersama pihak berkuasa tempatan terus memainkan peranan aktif dalam usaha mengawal rabies menerusi kerjasama seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

Usaha itu, katanya, melangkaui tanggungjawab utama kementerian yang merangkumi pelesenan anjing, pengurusan anjing terbiar dan penguatkuasaan.

“Pada April 2026, kementerian turut menyokong projek perintis Vaksinasi Rabies Secara Oral (ORV) di sekitar Kuching di bawah Program Vaksinasi Rabies Bersepadu yang diterajui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) dengan kerjasama Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA).

“Inisiatif ini membolehkan vaksinasi diberikan kepada anjing yang berkeliaran bebas dan sukar ditangkap atau divaksin menggunakan kaedah konvensional,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU