KUCHING: Sebanyak 218 kes diselesaikan melalui Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (THPC) dan Tribunal Pengurusan Swasta (SMT) setakat September tahun ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, 105 kes dikendalikan THPC manakala 113 kes diurus SMT.
Beliau berkata, Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Lesen) 2013 (Bab 69) turut memperuntukkan tindakan terhadap ketidakpatuhan award Tribunal.
“Pada tahun 2026, sebanyak 14 pertuduhan bagi ketidakpatuhan award Tribunal Tuntutan Pembeli Perumahan telah dibawa ke Mahkamah Majistret.
“Dua belas pertuduhan telah dikenakan denda berjumlah RM58,500, manakala dua pertuduhan lagi masih berjalan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kui Hian berkata kementeriannya melancarkan Program Lesen Anjing Percuma pada tahun 2026 bagi melengkapi program suntikan vaksin haiwan peliharaan yang sedang berjalan.
Katanya, program itu bertujuan mengekang penularan wabak rabies dan menambah baik rekod pendaftaran haiwan peliharaan.
Jelasnya, program itu menunjukkan hasil positif apabila pihak berkuasa tempatan di seluruh Sarawak merekodkan 6,210 lesen anjing berbanding 5,566 pada tahun 2025, iaitu peningkatan 11.6 peratus, selain 4,400 pemasangan mikrocip turut direkodkan.
Di samping itu, katanya, perkhidmatan pelesenan anjing diperluas kepada komuniti melalui Program Sarawakku Sayang (SKS) dengan penyediaan kaunter pelesenan bagi memudahkan akses orang awam kepada perkhidmatan tersebut.



