KUCHING: Dalam tempoh hanya enam tahun, Kerajaan Sarawak menyalurkan RM317.44 juta bagi Skim Pinjaman Perumahan Untuk Golongan Berpendapatan Rendah (Rumah Panjang), melebihi jumlah RM204.59 juta yang disalurkan Kerajaan Persekutuan sepanjang 48 tahun sejak 1978.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, jumlah pembiayaan yang disalurkan Kerajaan Sarawak dalam tempoh kira-kira enam tahun itu melebihi peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi skim yang sama sepanjang hampir lima dekad.
“Pembiayaan Kerajaan Sarawak telah memberi manfaat kepada 443 rumah panjang, merangkumi 9,023 pintu di seluruh negeri.
“Skim pinjaman tanpa faedah tersebut antara inisiatif kerajaan negeri bagi membantu masyarakat rumah panjang mendapatkan kemudahan perumahan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Dr. Sim menambah, dalam tempoh 48 tahun, Kerajaan Persekutuan menyalurkan kira-kira RM204 juta, berbanding RM317 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak dalam tempoh enam tahun.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 66 projek rumah panjang melibatkan 1,310 pintu diluluskan Kerajaan Sarawak tahun ini, dengan jumlah pinjaman bernilai RM61.38 juta.
“Sebagai perbandingan, Kerajaan Persekutuan meluluskan 24 projek rumah panjang melibatkan 428 pintu dengan peruntukan RM18.74 juta bagi tempoh sama,” katanya.
Katanya, pembiayaan Kerajaan Persekutuan sejak 1978 hingga kini memberi manfaat kepada 820 rumah panjang, merangkumi 17,845 pintu.
Beliau berkata, kerjasama dengan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) akan diteruskan bagi menggalakkan lebih ramai pemaju swasta terlibat dalam penyediaan rumah mampu milik.
“Pada masa sama, Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Perumahan Sarawak (SHCCM) turut diadakan bagi membincangkan isu perumahan dan mencari penyelesaian bersama agensi kerajaan serta wakil industri,” katanya.



