KUCHING: Sarawak mempunyai tujuh daripada 11 bandar calon di Malaysia yang melaksanakan inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pelaksanaan pelan tindakan berkenaan melibatkan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Miri (MCC), Majlis Perbandaran Sibu (SMC), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
“Daripada 11 bandar calon di Malaysia, tujuh daripadanya dari Sarawak.
“Inilah Sarawak pada 2026, kita mahu mencapai penanda aras antarabangsa, bukan sekadar standard hutan Borneo,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini hari ini.
Beliau berkata, pelan tindakan yang diterima pakai sejak Februari 2026 itu kini berada pada peringkat pelaksanaan berbeza di tujuh PBT berkenaan.
Menurutnya, MBKS dan SMC masing-masing melangkah ke kohort kedua Majlis Kanak-Kanak yang ditubuhkan pada 3 Oktober dan 19 September 2026.
“Seramai 157 ahli Majlis Kanak-Kanak telah dilantik pada 2026 berbanding 147 orang pada 2025 di tujuh PBT,” katanya.
Kui Hian turut menghargai sumbangan ahli kohort pertama majlis berkenaan dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mendengar dan mempertimbangkan pandangan kanak-kanak dalam perancangan serta proses membuat keputusan di peringkat tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Daerah Dalat dan Majlis Daerah Mukah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UNICEF pada 12 Ogos 2026 bagi melaksanakan Inisiatif Komuniti Mesra Kanak-Kanak.
“Kami berbangga untuk mengumumkan bahawa mereka ialah majlis daerah pertama di Malaysia dan rantau ini yang menerima pakai pendekatan Inisiatif Komuniti Mesra Kanak-Kanak dalam konteks luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, projek perintis itu bakal menyediakan model praktikal untuk memperkukuh tadbir urus mesra kanak-kanak dan penyertaan mereka dalam komuniti luar bandar, dengan potensi diperluas ke majlis daerah lain yang sesuai di Sarawak.
Sementara itu, Kui Hian berkata, sebanyak RM2.94 juta diperuntukkan kepada 26 PBT bagi pelaksanaan program SMART setakat Oktober 2026.
Katanya, sebanyak 294 program diluluskan untuk pelaksanaan, dengan RM2.25 juta disalurkan, bersamaan 77 peratus daripada keseluruhan peruntukan.
Baki program kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan oleh PBT masing-masing.
Mengenai usaha menyokong penduduk berusia, beliau berkata, tiga PBT, iaitu MBKS, DBKU dan SMC, menyertai Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Usia Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurutnya, ketiga-tiga PBT itu turut memperkenalkan inisiatif mesra warga emas, termasuk sistem Bayaran Mudah Warga Emas (EEP) oleh MBKS dan DBKU bagi memudahkan pembayaran parkir automatik.
SMC pula menawarkan pas My Senior Citizen Pass (mySCP) kepada pemandu berusia 60 tahun ke atas.
Kui Hian berkata, inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan halangan digital, menyokong pergerakan berdikari dan menggalakkan penuaan aktif dalam kalangan warga emas.



