KUCHING: Sebanyak 31 projek perumahan swasta bermasalah di Sarawak masih dalam proses pemulihan, termasuk dua projek yang diisytiharkan terbengkalai, setakat 30 September lalu.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, daripada keseluruhan 60 projek perumahan bermasalah yang dikenal pasti di seluruh negeri, sebanyak 29 projek atau 48 peratus telah disiapkan sepenuhnya, siap sebahagian atau berjaya diselesaikan.
Menurutnya, baki 31 projek atau 52 peratus masih memerlukan campur tangan kementerian, dengan ada yang berada dalam keadaan tidak bergerak atau telah disambung semula.
“Daripada 60 projek perumahan bermasalah, sebanyak 29 projek telah disiapkan sepenuhnya, sebahagiannya disiapkan atau diselesaikan, manakala 31 lagi masih dalam tindakan pemulihan.
“Dua daripada projek yang masih bermasalah telah diisytiharkan terbengkalai dan kementerian akan terus berusaha menyelesaikan isu berkaitan projek berkenaan,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, jumlah projek bermasalah itu hanya mewakili 2.3 peratus daripada keseluruhan 1,350 projek perumahan di Sarawak.
Beliau berkata, Tabung Amanah Sumbangan Perumahan Sarawak (SHCTF) telah mengumpul RM15.528 juta bagi membantu pembiayaan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik melalui badan berkanun kerajaan.
Dalam aspek kawal selia, beliau berkata, kementeriannya telah meluluskan 259 permohonan Lesen Pemajuan Perumahan dan 202 permohonan Permit Iklan dan Jualan dari Januari hingga September tahun ini.
“Sebanyak RM307,500 turut dikutip melalui kompaun hasil penguatkuasaan pematuhan di bawah Ordinan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013 serta Peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2014,” jelasnya.
Katanya, kementerian sedang melaksanakan pembaharuan menyeluruh terhadap Sistem Pembangunan dan Pengurusan Perumahan (HOMEAPPS), selain mengadakan libat urus dengan pihak industri bagi memuktamadkan cadangan pindaan peraturan pemajuan perumahan.
Mengenai pembangunan rumah mampu milik di Bintulu, Dr Sim berkata, dua bidang tanah kerajaan di Jepak telah dikenal pasti untuk pembangunan masa depan, iaitu Lot 111 dan Lot 61, kedua-duanya di Blok 36, Daerah Tanah Kemena.
Beliau berkata, projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Jelutong di Jepak dan SPK Tatau kini dalam pembinaan serta hampir siap, manakala Skim Penempatan Semula (SPS) Jelutong dan Projek Pembangunan Semula Bandar Jepak telah diluluskan.
Sementara itu, SPK Tatau Fasa Dua masih pada peringkat perancangan.
“Jepak turut dikenal pasti Kerajaan Sarawak sebagai lokasi perintis bagi inisiatif perumahan khusus untuk golongan M40, selain beberapa permohonan pembangunan perumahan swasta yang sedang diproses tertakluk kepada kelulusan berkaitan,” katanya.



