ARTIKEL

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Foto: Ghazali Bujang

174 Projek Rakyat RM456.1 juta, 110 siap sepenuhnya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 174 Projek Rakyat bernilai RM456.1 juta di bawah Projek Khas dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan sejak tahun 2018, dengan 110 projek siap sepenuhnya, 42 sedang dalam pelaksanaan dan 22 pada peringkat perancangan.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), kementeriannya diberi siling belanjawan sebanyak RM572.52 juta, dengan RM151.76 juta diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan pada tahun ini bagi 136 projek, dan 97 daripadanya ialah projek sambungan daripada RMK-12.

Bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), beliau berkata Kerajaan Sarawak meluluskan 8,718 projek dari tahun 2015 hingga 2026 bernilai RM1.4 bilion untuk dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Daripada 8,718 projek tersebut, 7,740 atau 89% daripadanya telah siap dilaksanakan. Bagi tahun 2026, pihak berkuasa tempatan sedang melaksanakan 802 projek bernilai RM112.85 juta,” katanya ketika penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.

Kui Hian berkata, projek itu merangkumi pelbagai projek infrastruktur seperti menaik taraf jalan raya dan perparitan, penambahbaikan tebingan sungai, menaik taraf pasar, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat, pembinaan tandas awam, pembinaan perpustakaan awam, pengindahan landskap serta kemudahan dan fasiliti luar bandar.

Beliau berkata, kesemua projek ini sedang berjalan pada pelbagai peringkat pelaksanaan di bawah pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada tahun ini kementeriannya juga menerima RM307.13 juta di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi penyelenggaraan jalan majlis, termasuk perabot jalan, bahu jalan, parit tepi jalan dan komponen berkaitan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

“Setakat ini, sejumlah RM195.58 juta telah disalurkan,” katanya.

Beliau turut berkata, 16 pihak berkuasa tempatan juga sedang melaksanakan projek tambahan bernilai RM1.22 bilion yang merangkumi 207 projek di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah yang lain.

Katanya, pihak berkuasa tempatan juga menerima RM73.08 juta daripada pelbagai kementerian persekutuan untuk melaksanakan projek masing-masing, iaitu daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP), Kementerian Ekonomi Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).

BERITA LAIN

470,000 penduduk dilindungi daripada risiko banjir

KUCHING: Lebih 470,000 penduduk di kawasan Greater Kuching bakal dilindungi daripada risiko banjir menerusi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandaraya Kuching Fasa Dua bernilai RM2.48

BERITA TERBARU

470,000 penduduk dilindungi daripada risiko banjir

KUCHING: Lebih 470,000 penduduk di kawasan Greater Kuching bakal dilindungi daripada risiko banjir menerusi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandaraya Kuching Fasa Dua bernilai RM2.48