ARTIKEL

Datuk Seri Fatimah Abdullah

98.9 peratus kanak-kanak Sarawak ikuti prasekolah sebelum Tahun Satu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 98.9 peratus kanak-kanak di Sarawak mengikuti pendidikan prasekolah sebelum memasuki Tahun Satu, menandakan kemajuan negeri itu dalam memperluas akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pencapaian itu merupakan hasil usaha bersepadu agensi kerajaan, penyedia Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE), pendidik serta ibu bapa.

“Pencapaian ini mencerminkan usaha kolektif dan komitmen bersepadu semua pihak dalam memastikan kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan prasekolah sebelum melangkah ke alam persekolahan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini hari ini.

Bagi menyokong kesinambungan akses kepada pendidikan awal yang berkualiti, katanya, sebanyak RM4 juta diperuntukkan pada 2027 untuk Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, manakala RM14 juta disediakan bagi Geran Tahunan Khas.

Menurutnya, peruntukan berkenaan bertujuan meringankan beban ibu bapa serta membantu institusi ECCE berdaftar mengekalkan dan meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

“Pelaburan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap penyedia ECCE bukan sekadar sebagai pengendali perkhidmatan, tetapi juga rakan kongsi penting dalam memastikan kanak-kanak mendapat akses kepada persekitaran pembelajaran yang berkualiti,” ujarnya.

Dalam usaha memperkukuh sistem ECCE yang lebih inklusif, Fatimah berkata, Sarawak turut memberi penekanan kepada pengesanan awal, intervensi serta pembangunan keupayaan profesional bagi memastikan keperluan perkembangan kanak-kanak dapat dikenal pasti dan ditangani dengan sewajarnya.

Beliau berkata, dari 2020 hingga Mei 2026, Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) memberikan sokongan kepada seramai 1,368 kanak-kanak.

Daripada jumlah itu, seramai 518 kanak-kanak menamatkan program intervensi, dengan 145 orang beralih ke Tahun Satu aliran perdana, 303 orang meneruskan pendidikan melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), manakala 70 orang memasuki sekolah pendidikan khas.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat sokongan dan laluan pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU