KUCHING: Seramai 39 orang kurang upaya (OKU) dikenal pasti berpotensi dimajukan sebagai atlet Para Sarawak pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXIII Kelantan 2028 menerusi program pencarian bakat yang dijalankan di sembilan bahagian di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, program Pengenalpastian Bakat (TID) yang dilaksanakan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak itu bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan OKU bagi dibangunkan secara lebih sistematik.
Menurutnya, individu terpilih daripada pelbagai kategori ketidakupayaan akan dipadankan dengan disiplin sukan yang bersesuaian sebelum mengikuti latihan dan pembangunan atlet secara berstruktur.
“Mereka akan diberi peluang menjalani latihan serta pembangunan atlet secara berstruktur sebagai persediaan mewakili Kontinjen Para Sarawak ke Para SUKMA XXIII Kelantan 2028,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, inisiatif berkenaan sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan sukan inklusif, selain membuka lebih banyak peluang kepada OKU mengembangkan bakat serta mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kontinjen Para Sarawak menamatkan saingan Para SUKMA XXII Selangor 2026 di tempat ketiga keseluruhan selepas meraih 138 pingat menerusi penyertaan dalam 10 jenis sukan yang mempertandingkan 330 acara.
Katanya, kontinjen yang beraksi dari 1 hingga 11 September lalu itu terdiri daripada 332 atlet para dan 68 pegawai, menjadikan jumlah keseluruhan 400 anggota.
“Seramai tujuh atlet Sarawak turut berjaya memecahkan rekod pertandingan, sekali gus membuktikan kemampuan atlet para negeri ini untuk terus bersaing pada tahap tinggi,” ujarnya.
Antara pencapaian membanggakan ialah kejayaan Norshazwani Maisara Marzuki yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan Para SUKMA XXII selepas meraih dua pingat emas dan satu perak.
Beliau memenangi emas dalam acara lontar peluru wanita F37 dan merejam lembing wanita F37 dengan mencipta dua rekod baharu kejohanan, selain meraih perak dalam acara lempar cakera wanita F37.
Bagaimanapun, Fatimah berkata, penyertaan kontinjen Sarawak pada temasya itu turut dipengaruhi perubahan syarat umur atlet yang diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Sukan Para pada 29 Januari lalu.





