KUCHING: Sebanyak 679 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh Sarawak sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027, manakala bekalan bantuan keperluan asas turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi memastikan mangsa menerima bantuan segera.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menyediakan stok bantuan di Depoh Simpanan Samarahan, empat depoh kecil di Mukah, Kapit, Miri dan Lawas serta 23 Pangkalan Hadapan Bencana.
“Persediaan itu turut melibatkan 12 Pejabat Kebajikan Masyarakat bahagian dan daerah bagi mempercepat pengagihan bantuan sekiranya berlaku banjir atau bencana lain.
“Stok bantuan keperluan asas turut disediakan di beberapa depoh, pejabat kebajikan serta pangkalan hadapan bencana bagi memastikan penyaluran bantuan dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga September tahun ini, Kerajaan Sarawak melalui JKMS menyalurkan bantuan bencana berjumlah RM23.71 juta kepada 499,859 mangsa yang terjejas akibat kemarau, banjir, kebakaran, ribut dan tanah runtuh.
“Perbelanjaan itu melebihi peruntukan asal sebanyak RM10.1 juta susulan peningkatan keperluan penghantaran bekalan air bersih akibat kejadian kemarau luar jangka.
“Bagi menghadapi fenomena El Niño, JKMS telah mengaktifkan Bilik Operasi Bantuan Bencana serta memperkukuh kesiapsiagaan pejabat di peringkat bahagian dan daerah bagi memastikan rakyat yang terjejas menerima bantuan diperlukan,” ujarnya.
Dalam aspek kebajikan pula, beliau berkata, seramai 61,603 penerima menikmati Bantuan Kewangan Bulanan JKMS melibatkan peruntukan RM231.2 juta sehingga September tahun ini.
“Selain itu, sebanyak RM10.9 juta dibelanjakan bagi membantu 649 penerima menerusi Bantuan Pesakit Buah Pinggang, Bantuan Perubatan dan Bantuan Alat Tiruan atau Sokongan sepanjang Januari hingga September lalu.
“Kementerian turut memperluas capaian perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman menerusi Program Kamek Prihatin, Kitak Penting (KPKP) serta Program Santuni Komuniti (POSKOM).
“Melalui program turun padang ini, masyarakat khususnya warga emas, orang kurang upaya dan golongan rentan dapat mengakses maklumat, khidmat nasihat serta urusan permohonan bantuan secara langsung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diluluskan Geran Intervensi Sosial Sarawak (GISS) berjumlah RM498,168.34 bagi melaksanakan 61 program dan aktiviti intervensi sosial sepanjang Januari hingga September tahun ini.
“Sementara itu, RM3 juta turut disalurkan kepada 122 Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) bagi melaksanakan 267 program, manakala 26 NGO wanita menerima geran berjumlah RM424,374.50 untuk program pemerkasaan wanita dan komuniti,” tambahnya.



