KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 perlu dinilai berdasarkan manfaat jangka panjang kepada rakyat dan keberkesanan pelaksanaannya, bukan sekadar jumlah peruntukan atau dakwaan bahawa ia belanjawan pilihan raya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, rekod pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan kerajaan dari tahun ke tahun perlu dijadikan ukuran dalam menilai komitmen terhadap kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, prinsip “Utamakan Sarawak” dan “Sarawak Maju Makmur” bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan menerusi dasar serta keutamaan kerajaan yang memberi tumpuan kepada kebajikan, mata pencarian, keluarga dan masa depan rakyat.
“Rakyat adalah saksi kita. Tahun-tahun yang berlalu adalah rekod kita. Dan usaha berterusan yang kita lakukan adalah jawapan kita.
“Sesetengah pihak mungkin memilih untuk membuat janji apabila pilihan raya semakin hampir. Namun, janji sahaja tidak mampu membina jalan raya, mendidik anak, menyokong sesebuah keluarga, atau mengembalikan harapan kepada sesebuah komuniti,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini hari ini.
Fatimah berkata, pembangunan negeri juga tidak seharusnya dinilai berdasarkan pembinaan jalan raya, jambatan, bangunan dan kemudahan infrastruktur sahaja, sebaliknya turut perlu mengambil kira peluang yang diwujudkan serta kesejahteraan masyarakat.
“Pembangunan tidak harus dinilai berdasarkan jalan raya, jambatan, bangunan dan infrastruktur sahaja.
“Perkara-perkara tersebut memang penting, tetapi pembangunan juga mesti dinilai berdasarkan peluang yang kita cipta, keluarga yang kita bantu, kanak-kanak, wanita dan OKU yang kita perkasakan, maruah yang kita kembalikan serta komuniti yang kita angkat martabatnya,” katanya.
Fatimah berkata, pendekatan pembangunan Sarawak perlu kekal menyeluruh dengan memberi perhatian kepada pembangunan potensi insan, pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial, selain memastikan generasi akan datang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Beliau turut mengaitkan keupayaan Sarawak melaksanakan agenda pembangunan dengan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, khususnya menerusi usaha memperkukuh sumber hasil negeri.
Jelasnya, kedudukan kewangan yang lebih kukuh membolehkan kerajaan meningkatkan pelaburan dalam pembangunan, infrastruktur, modal insan dan kesejahteraan rakyat, selain memperluas keupayaan membuat keputusan demi kepentingan negeri.
Dalam pada itu, Fatimah menegaskan komitmen kementeriannya untuk memperkasakan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan golongan kurang bernasib baik, di samping memajukan wanita serta keluarga dan memperkukuh sokongan sosial yang inklusif.
Katanya, keutamaan kementerian ialah memastikan setiap kanak-kanak mendapat permulaan terbaik dalam kehidupan, wanita dan keluarga berpeluang untuk maju serta golongan rentan tidak terpinggir.
“Walau bagaimanapun, kejayaan kita pada akhirnya mestilah dinilai bukan berdasarkan bilangan program yang dilaksanakan atau bantuan yang diberikan, tetapi berdasarkan penambahbaikan yang bermakna dan kekal dalam kehidupan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata, kementerian akan terus memperkukuh kerjasama, menambah baik penyampaian perkhidmatan dan memastikan hasil yang boleh diukur selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Fatimah berkata, Belanjawan 2027 juga perlu mengimbangi aspirasi pembangunan dengan disiplin kewangan, mengembangkan ekonomi tanpa mengabaikan kebajikan rakyat serta membangunkan infrastruktur moden tanpa meminggirkan masyarakat luar bandar dan pedalaman.



