KUCHING: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) diminta melaksanakan proses pemutihan sebagai sebahagian usaha memperkukuh peranan organisasi peladang dalam pembangunan sektor pertanian negeri.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, permintaan itu sudah disampaikan kepada Pengerusi PPNS, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
“Saya mendapati kebanyakan individu yang terlibat dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ketika ini terdiri daripada pemimpin di peringkat akar umbi,” katanya pada Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Stephen Rundi berkata, pembangunan sektor pertanian memerlukan kerjasama erat antara petani, persatuan dan organisasi berkaitan supaya setiap pihak dapat memainkan peranan secara bersepadu.
Menurutnya, petani tidak seharusnya mengendalikan keseluruhan kegiatan pertanian secara bersendirian, sebaliknya memerlukan sokongan pelbagai pihak untuk meningkatkan keberkesanan kegiatan tersebut.
“Seorang petani tidak boleh melakukan segala-galanya daripada A hingga Z. Mereka tidak boleh mengendalikan semuanya secara bersendirian.
“Di negara seperti Thailand dan Taiwan, mereka mempunyai kelompok, kumpulan serta persatuan yang menyokong kegiatan pertanian,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak juga mempunyai persatuan peladang, namun pendekatan yang diamalkan di Taiwan boleh dijadikan contoh kerana organisasi peladangnya bergerak secara bersepadu dan saling melengkapi.
Dalam pada itu, Dr Stephen Rundi menekankan kepentingan sistem e-Tani yang diperkenalkan Jabatan Pertanian Sarawak untuk mengenal pasti kegiatan pertanian sebenar yang diusahakan setiap petani.
Katanya, maklumat mengenai profil petani, jenis tanaman dan kegiatan pertanian yang dijalankan penting untuk memastikan bantuan kerajaan disalurkan secara tepat mengikut keperluan penerima.
“Jika seseorang mengusahakan tanaman rambutan, kita tidak boleh memberikan bantuan atau mesin yang tidak berkaitan dengan tanaman tersebut.
“Begitu juga dengan tanaman padi, bantuan yang diberikan mestilah bersesuaian dengan kegiatan penanaman padi supaya bantuan kerajaan benar-benar bersasar,” katanya.



