KUCHING: Sarawak kekal sebagai tulang belakang industri lada Malaysia dengan menyumbang lebih 98 peratus daripada keseluruhan pengeluaran lada negara, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata, lada Sarawak terus mendapat tempat dalam segmen pasaran premium antarabangsa, sekali gus mencerminkan nilai dan potensi komoditi itu di pasaran global.
Menurutnya, harga purata Free on Board (FOB) bagi lada hitam Malaysia gred ASTA berada pada kira-kira RM37,649 setiap tan metrik, kekal relatif stabil berbanding tempoh sama pada 2025.
Sebaliknya, harga purata FOB bagi lada putih Malaysia gred FAQ mencatatkan peningkatan kira-kira 2.6 peratus, daripada RM48,373 kepada RM49,642 setiap tan metrik.
“Angka ini mencerminkan nilai berterusan lada tempatan dalam segmen pasaran premium,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Rundi berkata, harga eksport lada Malaysia yang relatif lebih tinggi berbanding negara pengeluar pesaing terus menjadi cabaran kepada daya saing komoditi itu di pasaran antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau mahu usaha meningkatkan kualiti produk, memperkukuh kebolehkesanan, memperluas akses pasaran serta membangunkan produk hiliran bernilai tinggi terus dipergiatkan bagi meningkatkan daya saing dan memastikan kemampanan industri lada Sarawak.
Langkah berkenaan juga penting bagi melindungi kepentingan serta menjamin kelangsungan mata pencarian pekebun kecil lada.
Sehingga September 2026, Sarawak merekodkan seramai 39,122 pekebun kecil lada yang mengusahakan kawasan seluas 8,168 hektar, menunjukkan pertumbuhan sederhana berbanding tempoh sama pada 2025.
Bagi memperkukuh industri berkenaan, beliau menambah bahawa kerajaan memperuntukkan RM50 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi melaksanakan Program Kemampanan Penanaman Lada di Malaysia, dengan matlamat meningkatkan kemampanan dan produktiviti industri itu.
Rundi berkata, program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 2,800 pekebun kecil menerusi Skim Penanaman Lada Premium (PLP), melibatkan kawasan seluas 700 hektar.
Selain itu, seramai 3,000 pekebun kecil lagi dijangka menerima manfaat menerusi Skim Penyelenggaraan Tanaman Lada (PTLM), yang melibatkan kawasan seluas 750 hektar.
Sehingga September 2026, Lembaga Lada Malaysia (MPB) menyalurkan bantuan di bawah PLP kepada 1,775 pekebun kecil di Sarawak, melibatkan kawasan seluas 276 hektar.
Sementara itu, di bawah PTLM, seramai 1,665 pekebun kecil yang mengusahakan kawasan seluas 311 hektar di Sarawak menerima bantuan bagi mengekalkan dan meningkatkan produktiviti kebun masing-masing.
“Inisiatif ini bertujuan menyokong peluasan penanaman lada, menambah baik penyelenggaraan kebun dan meningkatkan hasil pengeluaran, sekali gus memperkukuh pendapatan pekebun kecil serta memastikan kemampanan jangka panjang industri lada,” katanya.



