KUCHING: Eksport minyak sawit Sarawak meningkat kepada 2.6 juta tan bernilai RM11.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Ohos berbanding 2.3 juta tan bernilai RM10.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata minyak sawit kekal sebagai komoditi eksport terbesar Sarawak dengan keluasan kawasan kelapa sawit seluas 1.7 juta hektar setakat Ogos 2026.
“Dalam tempoh yang sama, pengeluaran Minyak Isirung Sawit Mentah melonjak sebanyak 13 peratus daripada 241,040 tan kepada 272,210 tan manakala pengeluaran Minyak Sawit Mentah meningkat sebanyak 8 peratus daripada 2.7 juta tan kepada 2.9 juta tan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rundi berkata kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Agrobank melaksanakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Persendirian Kelapa Sawit (TSPKS 2.0) bagi membantu pekebun kecil menggantikan pokok kelapa sawit tua dan tidak produktif.
Katanya, dana khas itu bertujuan menyokong pekebun kecil persendirian kelapa sawit dalam melaksanakan aktiviti tanam semula dan meringankan beban kewangan berkaitan penggantian pokok kelapa sawit tua dan tidak produktif.
“Setakat September 2026, seramai 106 pekebun kecil persendirian kelapa sawit telah diluluskan di bawah skim ini sejak tahun 2024, melibatkan 311 hektar kawasan tanaman kelapa sawit tua dan tidak produktif, dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.6 juta,” katanya.



