KUCHING: Sarawak mengeksport 22,700 tan metrik kanji sagu bernilai RM63 juta setakat Ogos tahun ini, dengan eksport meningkat lapan peratus dari segi kuantiti dan empat peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, perkembangan itu menunjukkan industri sagu terus memainkan peranan penting dalam ekonomi luar bandar, selain menyokong agenda pertumbuhan hijau Sarawak.
Menurutnya, sepanjang 2025, Sarawak mengeksport kira-kira 33,000 tan metrik kanji sagu bernilai RM95 juta, manakala eksport gula apong mencatatkan 78 tan metrik bernilai RM878,000.
“Setakat Ogos 2026 pula, eksport kanji sagu mencapai 22,700 tan metrik bernilai RM63 juta, meningkat lapan peratus dari segi kuantiti dan empat peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama pada 2025.
“Bagi gula apong pula, eksport setakat Ogos tahun ini mencecah 37 tan metrik bernilai RM442,000,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah Sarawak menerima peruntukan pembangunan RM6.7 juta pada 2026 di bawah Pelan Pelaksanaan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi melaksanakan empat inisiatif utama.
“Inisiatif itu merangkumi pemulihan dan pemerkasaan pekebun kecil sagu, peningkatan produktiviti nipah bagi menjamin kelestarian bekalan nira, pembangunan Kompleks Pembangunan Industri Sagu Sarawak serta kajian kebolehlaksanaan kemudahan ekonomi kitaran sagu bersepadu,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan lima projek strategik bernilai keseluruhan RM20.7 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Projek itu termasuk pembangunan ladang dan perusahaan nipah bersepadu serta pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan gula apong di Kampung Tambak, Pusa, dengan kerja penanaman nipah serta pembinaan pusat pemprosesan sedang dilaksanakan.
“Pusat Pemprosesan Sehenti Sagu dan Rumbia di Kampung Dit, Debak telah melalui proses tender pada Oktober ini dan Pusat Pemprosesan Sehenti Gula Apong di Kampung Buda, Spaoh dijadual ditender pada November depan.
“Sementara itu, projek Taman Agropelancongan Nipah di Kabong berada pada peringkat penyediaan senarai kuantiti dengan tender dijangka pada Januari 2027, manakala projek pembangunan usahawan sagu dan nipah di Beting Maro sedang melalui proses perolehan mesin serta peralatan,” jelasnya.
Bagi memperkukuh tadbir urus industri, beliau berkata, pihaknya turut membangunkan kerangka penggredan batang sagu dan harga rujukan Sarawak bagi memastikan kaedah penggredan lebih seragam serta penetapan harga yang telus.



