ARTIKEL

Jeti kayu ini masih berdiri kukuh bersebelahan Terminal Satu Sarikei.

Jeti kayu Sarikei simpan kenangan penduduk pesisir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Biarpun diapit kemudahan Terminal Satu yang lebih moden, sebuah jeti kayu berusia lebih tiga dekad masih teguh bertahan, menjadi saksi sejarah kehidupan penduduk yang pernah bergantung sepenuhnya kepada laluan air.

Jeti yang dipercayai dibina pada penghujung 1960-an itu bukan sekadar tempat menambat bot, sebaliknya pernah menjadi nadi pergerakan penduduk, urusan jual beli hasil laut dan sebagainya.

Veteran Polis, Abang Ibrahim Abang Kipni, 77, berkata, jeti itu mempunyai nilai tersendiri kerana fungsinya yang cukup besar dalam menghubungkan Sarikei dengan beberapa kawasan pesisir lain.

“Suatu ketika dahulu jeti ini menjadi tumpuan penduduk dari Belawai, Pulau Bruit, Tanjung Manis serta kawasan Matu dan Daro untuk pelbagai urusan harian.

“Bukan penduduk Sarikei sahaja menggunakan jeti ini, malah mereka dari kawasan lain turut singgah di sini untuk menjalankan urusan masing-masing,” katanya ketika ditemui wartawan Suara Sarawak.

Katanya, jeti itu juga menjadi lokasi persinggahan penduduk dari rumah panjang berhampiran yang menggunakan sampan dan perahu untuk berulang-alik.

Selain menjadi tempat menurunkan penumpang, ujarnya, kawasan itu turut dimanfaatkan pengusaha bot untuk mendapatkan bekalan minyak serta memunggah hasil tangkapan nelayan kecil sebelum dibawa ke destinasi seterusnya.

Awang Julaihi Awang Busrah, 67, berkata, peranan jeti berkenaan semakin penting ketika jaringan jalan raya belum berkembang seperti hari ini, apabila laluan sungai menjadi antara penghubung utama bagi penduduk yang ingin ke Sarikei dan kawasan sekitarnya.

Namun, seiring kemajuan Sarikei serta kemunculan kemudahan pengangkutan yang lebih moden, fungsi jeti berkenaan semakin berubah, walaupun masih digunakan sebagai tempat menambat bot bersaiz kecil.

“Walaupun dibina daripada kayu dan kelihatan sederhana, sumbangannya kepada masyarakat dahulu memang besar. Kita sendiri tidak tahu sampai bila jeti ini mampu bertahan.

“Bagi generasi yang pernah bergantung pada pengangkutan sungai, jeti ini bukan sekadar struktur lama yang masih tersisa, malah lambang kenangan dan sejarah kehidupan masyarakat pesisir yang wajar dihargai sebelum ditelan arus pembangunan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU