ARTIKEL

Perikanan Sarawak raih RM541.4 juta dalam sembilan bulan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sektor perikanan Sarawak mencatatkan pengeluaran sebanyak 84,111 tan metrik bernilai RM541.4 juta bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, berkata, jumlah itu merangkumi perikanan tangkapan laut, akuakultur dan perikanan darat.

Menurutnya, perikanan tangkapan laut menyumbang 82,000 tan metrik bernilai RM484 juta, melibatkan seramai 9,605 nelayan.

Beliau berkata, subsektor akuakultur pula mencatatkan pengeluaran sebanyak 1,336 tan metrik bernilai RM38 juta, melibatkan 1,097 penternak.

Sementara itu, perikanan darat merekodkan tangkapan sebanyak 775 tan metrik bernilai RM19.4 juta, melibatkan 2,274 nelayan darat berdaftar.

“Dari Januari hingga September 2026, import perikanan sebanyak 33,363 tan metrik bernilai RM150 juta, manakala eksport perikanan sebanyak 10,057 tan metrik bernilai RM77.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rundi berkata, Persatuan Nelayan (PN) di Sarawak mencatatkan jualan terkumpul sebanyak RM107 juta dengan keuntungan bersih gabungan RM3 juta bagi tempoh sama.

Katanya, Sarawak mempunyai satu Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan 18 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), dengan jumlah keseluruhan 13,347 ahli berdaftar di seluruh negeri.

“PNK Beladin merekodkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM1 juta, diikuti PNK Sri Muara dengan RM492,630 dan Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA) sebanyak RM487,120,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM6.4 juta di bawah Rancangan Boleh Pinda 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), bagi memperkasakan komuniti nelayan dan persatuan nelayan di Sarawak.

Katanya, sehingga September 2026, sebanyak RM4.56 juta daripada peruntukan itu sudah dibelanjakan, manakala RM1.66 juta lagi sudah dikomitkan.

Rundi berkata, dana berkenaan disalurkan kepada pelbagai program pembangunan sosioekonomi, termasuk pembinaan dan pembaikan kemudahan pendaratan ikan di kampung nelayan serta pembangunan kegiatan ekonomi berkelompok yang dikendalikan persatuan nelayan.

Katanya, inisiatif lain merangkumi pembangunan kemudahan memancing rekreasi dan agropelancongan, pengukuhan rangkaian pemprosesan hiliran, peluasan pemasaran ikan sejuk beku serta penambahbaikan kemudahan di Pusat Pemeriksaan Ikan bagi memperkukuh keselamatan rentas sempadan.

Selain itu, katanya, kerajaan terus menyediakan bantuan bersasar menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi melindungi mata pencarian nelayan, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kesejahteraan isi rumah.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga September, sejumlah RM1.27 juta disalurkan kepada 4,234 nelayan tradisional menerusi Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (EHSN) bagi menyokong perbelanjaan hidup mereka.

Tambahnya, untuk Bantuan Bahan Api Bersubsidi, sejumlah 7.58 juta liter diesel bersubsidi dan 1.7 juta liter petrol bersubsidi diagihkan kepada nelayan yang layak di seluruh negeri bagi meringankan kos operasi mereka.

Bagi Program Penempatan Semula Nelayan atau Pembangunan Perumahan Nelayan (PKPN), Rundi berkata sebanyak RM2.16 juta diperuntukkan untuk meningkatkan kemudahan perumahan nelayan di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, RM900,000 diperuntukkan untuk membaik pulih 45 rumah, manakala RM1.26 juta lagi bagi pembinaan 14 rumah baharu.”

“Kerajaan turut memperuntukkan RM450,000 di bawah inisiatif Cakna MADANI menerusi Program Peningkatan Produktiviti Nelayan B40 untuk menyediakan peralatan dan kelengkapan menangkap ikan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kecekapan serta produktiviti nelayan.”

BERITA LAIN

BERITA TERBARU