KUCHING: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, yang diarah keluar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas enggan menarik balik gelaran ‘pengecut politik’ terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin, disifatkan tidak bertanggungjawab oleh beberapa Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan, berkata, DUN sepatutnya menjadi platform bagi wakil rakyat menyuarakan masalah rakyat yang mereka wakili, bukannya tempat untuk mencetuskan kontroversi.
Menurutnya, tindakan tidak mematuhi arahan Speaker sehingga menyebabkan seseorang wakil rakyat diarah keluar dari Dewan boleh menjejaskan peluang pengundi untuk menyuarakan kepentingan mereka melalui wakil yang dipilih.
Beliau berkata, wakil rakyat yang berpengalaman sepatutnya memahami peraturan persidangan dan mematuhi ketetapan Dewan ketika menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
“Kita menghormati kebebasan bersuara dalam DUN, tetapi kita berharap Dewan menjadi tempat untuk menyuarakan suara rakyat dan bukannya sekadar mengadakan pertunjukan,” katanya ketika ditemu bual di DUN di sini hari ini.
Pandangan itu turut disuarakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng, yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai mengecewakan pengundi kerana wakil rakyat dipilih untuk memperjuangkan hak dan kepentingan kawasan masing-masing.
Menurutnya, wakil rakyat perlu menggunakan peluang ketika persidangan untuk membangkitkan isu rakyat secara berhemah dan konstruktif, bukannya terlibat dalam tindakan yang boleh menyebabkan mereka diarah keluar dari Dewan.
Beliau berkata, perbahasan di DUN seharusnya berteraskan usaha mencari penyelesaian serta kerjasama bagi membangunkan Sarawak dan menjamin masa depan generasi akan datang.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek, berkata, Violet sepatutnya memahami bahawa penggunaan perkataan yang dianggap menghina atau tidak sesuai dalam persidangan tertakluk kepada peraturan Dewan.
Menurutnya, Violet diberi peluang untuk menarik balik perkataan berkenaan selepas Speaker memutuskan ia tidak sesuai digunakan, namun beliau tetap enggan berbuat demikian.
Beliau berkata, tindakan mengarahkan Violet keluar dari Dewan dibuat selepas wakil rakyat itu tidak mematuhi arahan Speaker.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja, menegaskan bahawa tindakan terhadap Violet bukan semata-mata kerana beliau menggunakan gelaran ‘pengecut politik’ terhadap Lee, sebaliknya berpunca daripada keengganannya mematuhi arahan Speaker.
Menurutnya, pertikaian bermula apabila Violet diminta menarik balik perkataan berkenaan daripada Hansard, namun beliau enggan berbuat demikian sehingga berlaku pertelingkahan dengan Speaker.
“Beliau diarah keluar kerana tidak menghormati Speaker sendiri.
“Sebagai seorang peguam, beliau sepatutnya memahami bahawa tindakan tidak menghormati hakim di mahkamah juga boleh menyebabkan seseorang diarahkan keluar dari bilik perbicaraan,” katanya.
Angellie berkata, keputusan Speaker mengarahkan Violet keluar dari Dewan perlu dihormati, sambil menjelaskan tindakan itu tidak menghalang ADUN Pending berkenaan daripada kembali menghadiri persidangan pada hari berikutnya.
Beliau turut menyokong permintaan Lee supaya gelaran berkenaan ditarik balik kerana menganggapnya sebagai bahasa tidak berparlimen.
Katanya, perbahasan dalam DUN Sarawak seharusnya berlangsung secara berhemah dan tidak dicemari pertelingkahan yang boleh menjejaskan mutu perbahasan.
Seorang lagi Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, William Anut, turut berpandangan bahawa wakil rakyat perlu mengemukakan bantahan secara konstruktif dengan menyertakan cadangan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
Beliau berkata, pembangkang mempunyai peranan penting dalam meneliti dasar kerajaan, namun kritikan perlu disampaikan secara berhemah dan berasaskan cadangan yang boleh dipertimbangkan.
Tindakan mengarahkan Violet keluar dari Dewan berlaku selepas Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, memutuskan gelaran ‘pengecut politik’ sebagai bahasa tidak berparlimen, menghina dan mengaibkan, selain mengarahkan perkataan itu dipadam daripada Hansard.
Keputusan itu dibuat selepas Lee membangkitkan perkara berkenaan di bawah Peraturan Mesyuarat 23(2)(p), dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 32(4) yang melarang penggunaan bahasa menghina atau menyinggung perasaan terhadap ahli Dewan.
Insiden itu tercetus ketika perbahasan penggulungan kementerian Lee apabila Violet mempersoalkan kenyataan menteri berkenaan terhadap ADUN Padungan, Chong Chieng Jen, yang ketika itu tidak berada dalam Dewan selepas digantung daripada menghadiri persidangan sehingga 21 Oktober.
Violet kemudian menyifatkan tindakan Lee sebagai ‘pengecut politik’ dan enggan menarik balik perkataan itu selepas diminta berbuat demikian.





