ARTIKEL

Dr Stephen menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, hari ini. Foto: UKAS

Kapasiti lembu SALCRA melonjak kepada 800 ekor pada Januari 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kapasiti penempatan lembu Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) bakal meningkat daripada 300 kepada 800 ekor apabila dua pusat pembiakan dan penggemukan lembu di Rimbas, Debak dan Bau mula beroperasi pada Januari 2027.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kedua-dua kemudahan yang siap dibina pada September lalu itu kini berada dalam fasa persiapan akhir sebelum memulakan operasi.

“Pusat berkenaan mempunyai kapasiti gabungan sebanyak 500 ekor lembu dan dijangka memperkukuh program pembiakan serta penggemukan ternakan, sekali gus meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak ke-19 di sini, hari ini.

Dr Stephen Rundi berkata, persiapan akhir bagi kedua-dua kemudahan itu merangkumi pemasangan peralatan, penyediaan kemudahan asas serta penyempurnaan urusan pentadbiran dan operasi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan meluluskan empat projek pembangunan ternakan bernilai RM18 juta pada 2026 bagi menyokong pengeluaran lembu, kerbau, biri-biri dan kambing di Sarawak.

“Pelaksanaan projek itu membolehkan pengimportan 1,653 ekor ternakan baka dan memberikan manfaat secara langsung kepada 63 penternak di seluruh negeri.

“Jumlah itu merangkumi 740 ekor lembu Brahman, 206 ekor kerbau rawa, 509 ekor biri-biri Dorper dan 198 ekor kambing Saanen.”

Bagi 2027, katanya, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan tambahan RM18.5 juta untuk meneruskan usaha pembangunan sektor ternakan, menjadikan jumlah peruntukan bagi 2026 dan 2027 sebanyak RM36.5 juta.

Dr Stephen Rundi berkata, sokongan itu penting untuk memperkukuh pengeluaran ternakan ruminan dan mengurangkan kebergantungan Sarawak terhadap import daging.

“Tahap sara diri daging lembu Sarawak meningkat daripada 17.5 peratus pada 2025 kepada anggaran 19 peratus pada 2026, manakala tahap sara diri daging biri-biri dan kambing meningkat daripada 15.2 kepada 17 peratus dalam tempoh yang sama.

“Populasi lembu dan kerbau turut meningkat daripada 23,000 ekor pada 2025 kepada 24,500 ekor pada 2026, sementara populasi biri-biri dan kambing bertambah daripada 12,600 kepada 15,000 ekor,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak menyasarkan tahap sara diri ternakan ruminan sebanyak 25 peratus menjelang 2030, disokong unjuran populasi 38,000 ekor ternakan ruminan yang terdiri daripada 25,200 lembu dan 12,800 kerbau.

BERITA LAIN

Sarawak kekal sasar lima juta pelancong tahun ini

KUCHING: Sarawak menyasarkan ketibaan lima juta pelancong tahun ini meskipun berdepan cabaran susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan perjalanan antarabangsa serta mendorong kenaikan harga

BERITA TERBARU