KUCHING: Sarawak menyasarkan ketibaan lima juta pelancong tahun ini meskipun berdepan cabaran susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan perjalanan antarabangsa serta mendorong kenaikan harga tiket penerbangan dan minyak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, negeri ini merekodkan 3.52 juta pelancong bagi tempoh Januari hingga September 2026.
“Sasaran lima juta pelancong itu masih sukar dicapai memandangkan Sarawak hanya merekodkan 4.97 juta pelancong pada tahun lalu, kurang kira-kira 26,000 orang daripada sasaran.
“Saya memilih untuk mengekalkan sasaran lima juta pelancong bagi tahun ini sebelum mempertimbangkan peningkatan sasaran pada tahun hadapan,” katanya pada sidang media di DUN Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, konflik di Asia Barat, khususnya peperangan melibatkan Iran, turut menimbulkan ketidaktentuan dalam sektor pelancongan apabila kenaikan harga tiket penerbangan dan minyak memengaruhi perancangan perjalanan.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian bakal pelancong mengubah jadual penerbangan serta rancangan perjalanan mereka, sekali gus menimbulkan cabaran kepada usaha mencapai sasaran berkenaan.
“Saya tidak begitu pasti sama ada kita mampu mencapai sasaran lima juta pelancong tahun ini.
“Namun, sekiranya kita berjaya mencapainya dalam keadaan mencabar ini, sudah tentu saya amat berpuas hati.
“Kita tunggu sehingga Disember untuk mengetahui sama ada sasaran itu dapat dicapai,” jelasnya.
Bagaimanapun, Karim memberitahu, perkembangan positif dapat dilihat dari segi hasil pelancongan Sarawak bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Ujarnya, meskipun hasil pelancongan pada Januari dan Februari belum mencapai RM1 bilion, purata hasil bagi tempoh Januari hingga September mencecah RM1 bilion sebulan.
Dalam pada itu, beliau berharap hasil pelancongan bagi tempoh Oktober hingga Disember terus meningkat, sekali gus membantu Sarawak mencapai sasaran lima juta pelancong menjelang akhir tahun ini.
Tambahnya, peningkatan hasil pelancongan itu satu perkembangan positif meskipun jumlah ketibaan pelancong mungkin masih belum mencapai sasaran tahunan.





