KUCHING: Bot elektrik yang diuji menerusi kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Laut Malaysia dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) berpotensi digunakan bagi menyokong aktiviti pelancongan, pengangkutan penumpang serta operasi menyelamat di kawasan perairan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, bot elektrik berkapasiti kira-kira 10 penumpang itu menunjukkan prestasi yang memuaskan berdasarkan ujian awal yang dijalankan di Pangkalan Sapi.
Menurutnya, bot berkenaan menggunakan sistem elektrik sepenuhnya dan dilengkapi dua enjin, sekali gus menawarkan alternatif kepada penggunaan bot berkuasa petrol bagi kegunaan tertentu.

Beliau berkata, bot itu sesuai dipertimbangkan untuk perkhidmatan feri berskala kecil, khususnya bagi membawa penumpang dan pelancong menikmati pengalaman menyusuri sungai.
“Bot ini sangat selesa dan sesuai untuk pelancongan serta pengangkutan penumpang.
Pengunjung mungkin berminat menaikinya untuk menikmati perjalanan selama 10 hingga 20 minit.

“Saya sendiri sudah mengujinya dan memandu bot ini. Berdasarkan pengalaman itu, saya melihatnya sebagai satu pilihan yang baik untuk kegunaan penumpang,” katanya ketika ditemui selepas menguji bot elektrik berkenaan di Pangkalan Sapi, hari ini.
Henry berkata, selain pelancongan dan pengangkutan penumpang, bot elektrik itu turut berpotensi digunakan sebagai bot penyelamat serta bagi menyokong aktiviti sukan air dan regata, khususnya di kawasan tasik atau perairan yang bersesuaian.
Bagaimanapun, beliau berkata, kos permulaan masih menjadi antara faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum penggunaan teknologi berkenaan diperluas.
Menurutnya, peralihan kepada sistem pengangkutan berasaskan tenaga hijau mungkin memerlukan kos yang lebih tinggi pada peringkat awal, termasuk dari segi sistem kuasa dan mekanisme pengoperasian.
Beliau berharap SEB dapat meneruskan penyelidikan bagi mengenal pasti pilihan terbaik untuk memperkenalkan sistem pengangkutan sungai yang lebih mesra alam, termasuk kemungkinan penggunaan teknologi hibrid yang menggabungkan tenaga elektrik dan hidrogen pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Henry berkata, bot elektrik berkenaan akan ditempatkan di kawasan berkenaan sepanjang tempoh regata dari 20 Oktober hingga 1 November ini bagi memberi peluang kepada pihak tertentu, termasuk tetamu kenamaan mencubanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kemudahan pengecasan tersedia di Kampung Bintangor, berhampiran masjid, dengan 10 unit pengecas disediakan bagi menyokong penggunaan bot elektrik.
Menurutnya, penggunaan bot berkuasa elektrik bukanlah sesuatu yang baharu di Sarawak apabila perkhidmatan tambang di kawasan tertentu sudah menggunakan teknologi berkenaan sejak lebih setahun lalu.
Beliau berkata, pengalaman pengoperasian bot elektrik bagi perkhidmatan tambang itu boleh menjadi rujukan dalam menilai kesesuaian teknologi berkenaan untuk diperluas kepada kegunaan pengangkutan sungai yang lain.





