ARTIKEL

Kebajikan, pendidikan atlet jadi keutamaan Kerajaan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus berusaha melaksanakan pendekatan pembangunan atlet yang lebih menyeluruh, dengan prestasi sukan diberikan sokongan seiring dengan pendidikan, kebajikan, perancangan kerjaya dan pembangunan peribadi.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pendekatan itu akan membantu mengekalkan atlet berbakat dalam sistem sukan untuk tempoh yang lebih panjang dan memberikan mereka keyakinan yang lebih tinggi untuk menceburi sukan berprestasi tinggi.

“Kerajaan turut mengiktiraf bahawa seseorang atlet tidak dinilai semata-mata berdasarkan prestasi sukan. Kebajikan atlet, pendidikan, pembangunan kerjaya dan peluang pekerjaan pada masa hadapan juga sama penting.

“Kita mahu atlet muda mempunyai keyakinan bahawa usaha mencapai kecemerlangan dalam sukan tidak bermakna mereka perlu mengorbankan pendidikan atau peluang kerjaya pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan ialah kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan kolej teknikal seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Kolej Laila Taib (KLT) dan Politeknik Mukah bagi memudahkan atlet melanjutkan pelajaran serta memperoleh kemahiran teknikal.

“Melalui usaha ini, atlet akan menerima sokongan yang lebih baik dalam mengimbangi komitmen sukan dengan kemajuan akademik serta aspirasi kerjaya mereka pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Karim berkata kementeriannya bersama-sama Majlis Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negara (MSN) Sarawak akan memperkukuh laluan pembangunan atlet, bermula daripada pembangunan di peringkat akar umbi hingga ke peringkat junior, Sukan Malaysia (SUKMA), mewakili negara dan seterusnya menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Katanya tumpuan akan diberikan kepada usaha memastikan atlet muda berbakat yang dikenal pasti melalui SUKMA 2026 tidak kehilangan momentum selepas temasya itu berakhir.

“Atlet yang menunjukkan potensi akan dikenal pasti untuk meneruskan pembangunan melalui program berstruktur yang disesuaikan berdasarkan prestasi, potensi dan keperluan individu masing-masing.

“Usaha ini merangkumi peningkatan pendedahan kepada pertandingan berkualiti, pelaksanaan kem latihan berpusat dan tidak berpusat, sokongan teknikal dan kejurulatihan, pemantauan prestasi serta akses kepada perkhidmatan sains sukan dan perubatan sukan mengikut kesesuaian,” katanya.

Beliau menambah SSC dan MSN Sarawak juga akan bekerjasama rapat dengan persatuan sukan masing-masing bagi mewujudkan pelan pembangunan atlet yang lebih jelas, termasuk penetapan sasaran prestasi yang bersesuaian serta pemantauan secara berkala.

Karim berkata melalui pendekatan itu, pembangunan atlet akan dilaksanakan sebagai satu proses berterusan untuk jangka panjang, dan bukannya hanya tertumpu kepada persiapan menghadapi SUKMA yang akan datang.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan atlet muda yang berpotensi diberikan sokongan dan peluang yang sewajarnya bagi membolehkan mereka melangkah daripada SUKMA ke peringkat kebangsaan dan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU