KUCHING: Perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu kekal tertumpu kepada isu rakyat dan tidak dicemari penghinaan peribadi serta konfrontasi politik, tegas Wilfred Yap Yau Sin.
ADUN Kota Sentosa itu berkata, perbezaan politik merupakan sebahagian daripada demokrasi, namun penghinaan peribadi dan konfrontasi tidak membawa manfaat kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, beliau membangkitkan perkara itu bagi mengingatkan semua ahli dewan supaya kekal fokus dengan isu yang dibahaskan serta menghormati Peraturan-Peraturan Mesyuarat.
“DUN Sarawak mesti kekal sebagai medan perbahasan yang tegas, akauntabiliti dan pencarian penyelesaian.
“Menghormati peraturan Dewan bukanlah satu bentuk intimidasi, sebaliknya tanggungjawab bersama-sama untuk memelihara martabat dan integriti institusi demokrasi kita,” katanya pada sidang media di DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Semalam, Violet menggelar Lee sebagai “pengecut politik” ketika mencelah ucapan penggulungan Kementerian Pengangkutan di DUN Sarawak.
Tindakan tersebut dilakukan ketika Lee menjawab perkara yang dibangkitkan ADUN Padungan Chong Chieng Jen berhubung gesaan supaya Kerajaan Sarawak membatalkan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu dan projek infrastruktur strategik lain.
Lee menyifatkan hujah Chong minggu lalu sebagai ‘berpandangan cetek’ dan contoh ketara dwistandard politik sekali gus mencetuskan bantahan Violet yang mempersoalkan tindakan Lee mengulas perkara terbabit ketika Chong tidak berada di dalam dewan selepas digantung daripada menghadiri Persidangan DUN sehingga 21 Oktober.
Violet turut menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pengecut politik’ dan enggan menarik balik perkataan ‘pengecut’ selepas diminta berbuat demikian oleh Lee.




