KUCHING: Pelancongan kesihatan di Sarawak menjana pendapatan RM109.9 juta menerusi ketibaan 48,480 pelancong kesihatan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sektor berkenaan terus menunjukkan perkembangan positif dan berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Menurut Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), Sarawak merekodkan 104,323 pelancong kesihatan pada 2025 berbanding 76,796 orang pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 35.8 peratus.
“Pelancongan kesihatan ini memberikan sumbangan besar kepada ekonomi tempatan, khususnya apabila pesakit datang bersama-sama ahli keluarga dan melakukan kunjungan berulang bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, ujarnya, Sarawak menjadi tuan rumah Kongres dan Ekspo Pelancongan Perubatan Global Borneo pada 12 hingga 13 Oktober lalu sebagai antara usaha memperkukuh sektor pelancongan kesihatan negeri.
Selain pelancongan kesihatan, Karim memberitahu, Sarawak turut mempergiat usaha mempelbagaikan produk pelancongan menerusi sektor pelancongan sukan dan kapal persiaran.
Dalam sektor pelancongan sukan, penganjuran edisi sulung Borneo 100 Triathlon 2026 pada 21 Jun lalu berjaya menarik 274 atlet triatlon berpengalaman dan peserta baharu dari sembilan negara, termasuk Singapura, Jerman dan China.
Jelasnya, acara tersebut menjadikan Sematan sebagai lokasi sukan bertaraf antarabangsa, sekali gus mengetengahkan potensi kawasan pesisir pantai Sarawak sebagai tarikan pelancongan berasaskan sukan.
“Sarawak turut mempunyai empat acara maraton yang mendapat pengiktirafan Persatuan Antarabangsa Maraton dan Larian Jarak Jauh (AIMS), iaitu Kuching Marathon, Kuching Half Marathon, Miri Marathon dan Sarawak Energy Marathon.
“Bagi Bintulu Marathon yang berlangsung pada 2 Ogos lalu, ia telah berjaya menarik lebih 10,000 pelari, termasuk 461 peserta antarabangsa dari 22 negara.
“Bukan itu sahaja, pembangunan sukan berasaskan sungai dan pelancongan ekologi pula diperkukuh menerusi Borneo Raft Safari League yang menghimpunkan lima acara kembara rakit di Mulu, Selangau, Mukah, Serian dan Padawan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bagi pelancongan kapal persiaran, Karim memberitahu, Sarawak turut meneroka potensi Pelabuhan Kuching, Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Miri, selain cadangan pembinaan terminal kapal persiaran di Semenanjung Damai oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Tambahnya, Kuching turut menerima kunjungan kapal persiaran antarabangsa bertaraf premium, termasuk Villa Vie Odyssey pada 22 Mei lalu yang berkapasiti 282 penumpang, diikuti Island Sky milik Noble Caledonia pada 10 Ogos lalu yang membawa 118 penumpang.




